Site icon TUHAU BAMBANGAN

4 beranak terjun dari tingkat 22, disyaki bunuh diri akibat masalah kewangan

JAKARTA: Empat beranak maut selepas didakwa bunuh diri dengan terjun dari tingkat 22 di salah sebuah Pangsapuri Teluk Intan, di sini Sabtu lalu, (9 Mac).

Empat beranak itu terdiri dari seorang ayah, 51; ibu, 50 tahun; anak perempuan, 15 tahun dan anak lelaki berusia 13 tahun.

Ketua Polis Daerah Penjaringan Metro, Komisioner Agus Ady Wijaya berkata, empat mangsa itu didakwa melompat dari atas bumbung pangsapuri tersebut.

Jelasnya, mayat empat mangsa itu kemudian ditemui oleh pengawal keselamatan yang mengawal lobi pangsapuri berkenaan.

“Ketika itu, pengawal keselamatan itu terdengar bunyi dentuman yang kuat dan segera menghampiri punca bunyi tersebut sebelum menemui empat mayat dalam keadaan terlentang dan seterusnya melaporkan kepada pihak polis,” katanya pada Ahad (10 Mac).

Jelas Agus, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari pangsapuri itu, kelihatan satu keluarga memasuki kawasan pangsapuri itu dengan menaiki sebuah kenderaan sekitar jam 4.02 petang yang kemudian dilihat menaiki lif ke tingkat 21.

“Dalam lif, CCTV merakamkan tindakan ayah mencium dahi isteri dan anak-anaknya sebelum si isteri mengumpulkan kesemua telefon bimbit mereka dalam dalam sebuah bag.

“Kemudian pada jam 4.05 petang, rakaman CCTV menunjukkan keluarga itu menaiki tangga kecemasan untuk naik ke bumbung pangsapuri dan pada jam 4.13 petang mereka berempat jatuh serentak dari tingkat 22,” jelasnya.

Pemeriksaan CCTV turut mendapati keluarga itu jatuh dengan keadaan tangan terikat antara satu sama lain di mana tangan ayah terikat dengan tangan anak perempuannya, manakala tangan ibu terikat bersama tangan anak lelaki mereka.

Siasatan awal mendapati kesemua mangsa mengalami cedera parah di kepala, tangan dan kaki.

Dalam pada itu katanya, motif tindakan bunuh diri masih dalam siasatan pihak polis, namun terdapat beberapa dakwaan seperti kekangan dari segi kewangan dan juga kurang mendapat sokongan dari masyarakat sekeliling.

Sumber: Tribunnews

Exit mobile version