Site icon TUHAU BAMBANGAN

Kedapatan curang, lelaki maut ditikam kekasih

KUALA LANGAT: Seorang lelaki yang didapati berlaku curang maut dipercayai ditikam oleh teman wanitanya di rumah di Bandar Rimbayu Isnin lalu. 

Ketua Polis Daerah Kuala Langat ACP Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan pada jam 9.41 pagi daripada seorang doktor di Hospital Cyberjaya. 

Doktor yang merupakan pengadu memaklumkan beliau menerima seorang pesakit dalam keadaan tidak sedarkan diri. 

“Pengadu membuat bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dalam masa 30 minit tetapi tiada tindakbalas dan denyutan nadi dari mangsa. 

“Mangsa, 26 tahun yang merupakan jurugambar sambilan itu kemudian disahkan meninggal dunia pada jam 7.25 pagi Isnin dengan kecederaan luka tikaman di bahagian pergelangan tangan kiri dan kaki kiri dipercayai ditikam menggunakan sebilah pisau. 

“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala langat membuat tangkapan terhadap teman wanita mangsa di kawasan hospital,” katanya dalam kenyataan media, semalam. 

Ridhwan berkata, menerusi hasil semakan, wanita iaitu suspek yang berusia 26 tahun itu merupakan bekas pelajar perubatan dan bekerja sebagai model sambilan serta tidak mempunyai sebarang rekod lampau. 

“Siasatan awal mendapati, punca kejadian adalah cemburu kerana suspek mendapati mangsa telah berlaku curang terhadapnya,” jelasnya. 

Suspek kemudian ditahan reman selama enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh yang membawa kepada hukuman mati. 

Exit mobile version