Site icon TUHAU BAMBANGAN

Pengisian kekosongan jawatan guru di Sabah kini capai 98%

KOTA KINABALU: Pengisian kekosongan jawatan guru di Sabah kini sudah mencapai 98 peratus dengan baki kekosongan sekitar 500 hingga 700 orang, di mana jumlah keseluruhan guru di negeri ini masih mencukupi.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Sadin berkata, jumlah keseluruhan guru yang ada di Sabah ketika ini ialah, seramai 43,508 orang dengan 26,360 guru sekolah rendah dan 17,144 guru sekolah menengah.

“Kalau kita lihat jumlah kekurangan guru itu, bukan berlaku kekurangan besar di satu-satu sekolah, tetapi kekurangan itu berlaku di banyak sekolah. Mungkin sekolah ini kurang dua, sekolah ini kurang satu.

“Jadi jumlah ini bukan menggambarkan bahawa proses Pengajaran dan Pembelajaran (P and P) itu tidak dapat berjalan dengan baik. Kita mesti yakin bahawa dengan jumlah guru yang kita ada di Sabah sekarang ini, proses P and P boleh dilangsungkan dengan sempurna,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Program Ihya Ramadhan SMK Likas bersempena dengan Hari Pertama Pembukaan Sekolah Sesi Akademik 2024/2025 di sini, hari ini.

Sementara itu, katanya dari sudut keluar masuknya guru di sekolah adalah dinamik kerana ketika ada guru baru yang melapor diri akan tetap ada guru yang akan bersara pula.

“Jadi proses ini akan sentiasa kita lihat supaya yang bersara itu dapat diganti. Ada juga dalam kalangan guru ini yang memilih untuk bersara dan kita akan memastikan guru itu dapat diganti dengan bekalan guru yang baru.

“Kita telah pun mendapat bekalan guru pada 7 Mac lalu di mana seramai 212 guru baru telah melaporkan diri dan insyaAlllah pada April ini nanti kita akan terima satu lagi kumpulan guru untuk memenuhi keperluan di sekolah-sekolah yang amat memerlukan,” katanya.

Exit mobile version