Site icon TUHAU BAMBANGAN

Mayat bayi perempuan baru lahir ditemui dalam parit

IPOH, PERAK: Mayat bayi perempuan baru lahir ditemukan di dalam parit berhampiran tapak pembinaan Hospital Baharu Seri Iskandar petang tadi.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, ACP Hafezul Helmi Hamza berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 3.15 petang. 

Katanya, hasil siasatan awal mendapati bayi tanpa identiti itu dipercayai baru dilahirkan dengan tali pusatnya disyaki sudah dipotong.

“Mayat mangsa ditemukan tanpa pakaian dalam keadaan terbaring dan tenggelam di dalam parit. 

“Pemeriksaan secara fizikal mendapati tiada sebarang kecederaan luar. 

“Bedah siasat akan dilakukan di Hospital Changkat Melintang, Bota oleh pakar perubatan forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh pagi esok untuk mengenalpasti punca kematian,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini. 

Katanya, kes kini disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan. 

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohamad Zulkarnain Jusoh di talian 013-9740294 untuk membantu siasatan. 

Sumber: HM

Exit mobile version