Site icon TUHAU BAMBANGAN

Jangan persoal kedaulatan Sabah dalam Malaysia – Hajiji

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menolak sekeras-kerasnya sebarang tuntutan ke atas Sabah yang sama dengan mempersoalkan kedaulatan negeri dalam Persekutuan Malaysia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pendirian Kerajaan Persekutuan kukuh tidak melayan dakwaan terbaharu kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai United Tausug Citizens (UTC).

“Sabah turut mendapat sokongan masyarakat global mengenai perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Hajiji pada masa sama, sekali lagi menegaskan bahawa rakyat Sabah telah memilih untuk bersama-sama membentuk Persekutuan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Oleh itu, sebarang tuntutan luar terhadap negeri Sabah tidak akan diiktiraf oleh kerajaan negeri mahupun rakyat.

“Malah, tuntutan pewaris Kesultanan Sulu yang tidak berfungsi serta tidak berasas itu berakhir dengan pemenjaraan penimbang tara Dr Gonzalo Stampa,” tegasnya.

Tegas Hajiji, dakwaan UTC atau mana-mana kumpulan ke atas Sabah tidak lain adalah hanya satu percubaan remeh semata-mata untuk mengganggu-gugat keamanan negeri dan ia sama dengan mengancam kedaulatan negara.

Exit mobile version