Site icon TUHAU BAMBANGAN

Sabah buka peluang pekerjaan kepada anak-anak Sabah golongan miskin tegar

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah berjaya membawa masuk pelbagai pembangunan dan pelaburan termasuk membuka banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak Sabah khususnya mereka yang dari golongan miskin tegar.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beberapa taman perindustrian di negeri ini juga telah penuh berikutan keyakinan pelabur luar untuk terus melabur di negeri ini.

“Kita baru dua, tiga tahun tapi Taman Perindustrian SOGIP sudah pun penuh, KKIP juga hampir penuh kerana pelabur yang datang ke Sabah yakin dengan kerajaan yang ada sekarang ini.

“Kita juga telah mencadangkan akan membuka taman perindustrian Oil and Gas di Kimanis seluas 15 hingga 20 hektar, di SOGIP sudah penuh, KKIP pun hampir penuh dan kita juga mencadangkan satu KKIP baru dibuka di antara Kota Belud dengan Kota Marudu atau Kudat,” katanya ketika berucap pada Mini Karnival Gagasan Rakyat di sini, hari ini.

Tambah Hajiji, semua ini dilakukan demi rakyat, iaitu membawa pelaburan masuk agar rakyat tempatan mempunyai peluang pekerjaan.

“Saya tidak suka banyak cakap politik, saya fokus kepada pembangunan rakyat kerana saya kasihan kepada rakyat yang tiada peluang pekerjaan, namun kini sudah beribu peluang pekerjaan yang kita wujudkan untuk mereka. 

“Di SK Nexlis saja, hampir 200 graduan jurutera sudah diterima bekerja. Kibing pula, kita putuskan bahawa dia mesti ambil anak-anak daripada miskin tegar, eKasih yang tiada kemahiran untuk bekerja di bahagian bawah.

“Sebelum ini, saya sendiri telah menyampaikan 71 perlantikan kepada anak-anak kita di kawasan KKIP ini yang dalam kategori miskin tegar, yang susah makan, ini yang kita fikir. Kita cakap dan dia berjanji untuk melantik hampir 200 orang daripada 1000 lebih pekerjaan di Kibing KKIP,” jelasnya.

Exit mobile version