Site icon TUHAU BAMBANGAN

Punca jangkitan kluster Sawit Segama-Lahad Datu disyaki dibawa masuk dari Indonesia

LAHAD DATU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) hari ini melaporkan bahawa terdapat satu kluster baharu direkodkan, iaitu kluster Sawit Segama, Lahad Datu.

Kluster ini merupakan kluster di tempat kerja dan punca jangkitan disyaki dibawa masuk dari Indonesia.

Kluster ini melibatkan kes indeks, wanita berusia 48 tahun, warganegara Indonesia dikesan positif pada 6 Julai lalu hasil saringan masuk kerja di sebuah klinik swasta.

Kes indeks yang masuk ke Sabah pada 25 Jun 2021 bersama dua orang cucu, diarahkan menjalani kuarantin di Ladang Sabah Mas (Division Segama) sebelum dibenarkan bekerja.

Dia yang mula bergejala batuk dan sakit tekak sejak 3 Julai lalu, kemudian mengambil swab PCR bersama beberapa ahli keluarga lain yang juga sedang dikuarantin di ladang yang sama.

Susulan dari penemuan kes positif itu, pengesanan secara aktif dan saringan yang dijalankan terhadap 64 kontak mendapati 14 lagi individu disahkan positif termasuk satu kes baharu menjadikan jumlah kumulatif kes positif kluster ini sebanyak 15 kes.

Sementara, 49 individu didapati negatif saringan pertama. Semua kes positif dalam kluster ini telah dirujuk ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut dan pengasingan di PKRC Lahad Datu.

Manakala semua kontak rapat juga telah diarahkan untuk menjalani kuarantin di pusat kuarantin PPR Sri Sepagaya, Lahad Datu.

JKNS turut melaporkan bahawa jumlah kes positif baharu Covid-19 pada hari ini adalah sebanyak 323 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 71,791 kes.

Sumber: JPBCNS

Exit mobile version