Site icon TUHAU BAMBANGAN

Kerajaan Sabah usaha selesai isu keperluan asas rakyat – Hajiji

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan terus memastikan kehidupan rakyat Sabah terus terbela dengan usaha berterusan menyelesaikan isu berkaitan keperluan asas rakyat khususnya elektrik, air, perumahan dan lain-lain.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, isu itu telah menghantui rakyat Sabah sejak sekian lama, tanpa menunding jari kepada mana-mana pihak, kerajaan pimpinannya sejak September 2020 telah melaksanakan pelbagai ikhtiar bagi menjamin kehidupan rakyat yang lebih selesa.

“Kita telah melancarkan Sabah Energy Roadmap & Master Plan 2040 pada bulan
September tahun lalu sebagai usaha beralih daripada sumber tenaga tidak boleh
diperbaharui seperti gas asli dan bergantung kepada rangkaian sungai di Sabah.

“Permintaan bekalan tenaga elektrik yang semakin meningkat pada masa ini boleh
diatasi dengan mempercepatkan pengeluaran hidroelektrik bagi memenuhi keperluan industri yang semakin pesat di negeri ini. Tenaga boleh diperbaharui seperti solar, biomas dan biogas akan melengkapkan lagi kapasiti penghasilan tenaga elektrik di Sabah”, katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Amanat dan Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Isnin.

Katanya, Projek Hidroelektrik Ulu Padas di Tenom yang dijangka siap pada 2029, aliran bekalan elektrik akan diperluaskan dengan menghubungkan rantau selatan dan tenggara Sabah sekali gus mencipta rangkaian tenaga yang lebih stabil.

Menurutnya, projek itu akan turut membantu menyelesaikan kekurangan bekalan air dalam tempoh masa panjang dengan penghasilan 6,000 juta liter sehari.

“Projek itu juga akan menjadi ‘game changer’ kepada negeri Sabah sekali gus menjamin kehidupan yang lebih baik dan sempurna pada masa akan datang.

“Bagi memastikan bekalan air menjadi lebih stabil, kerajaan juga telah
meningkatkan kapasiti bekalan air di Loji Rawatan Air Telibong 1 dan 2, sebanyak 130
juta liter air sehari hingga 160 juta liter air sehari yang mampu membekalkan air di kawasan Utara Kota Kinabalu termasuk di Tuaran, Taman Perindustrian Kota Kinabalu
(KKIP) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS),” jelasnya.

Tambahnya lagi, kerajaan turut meningkatkan kapasiti bekalan air di Loji Rawatan Air
Kogopon di Papar kepada 80 juta liter air sehari meliputi kawasan Papar, Kimanis
hingga ke Selatan Kota Kinabalu.

Projek itu yang bermula 5 bulan lepas dengan kos RM385 juta dijangka siap pada tahun 2026.

Exit mobile version