Site icon TUHAU BAMBANGAN

KPDN tambahbaik pelaksanaan Program Penyeragaman Harga Barang Kawalan

PULAU SEBATIK: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan meletakkan keutamaan untuk menambahbaik pelaksanaan Program Penyeragaman Harga Barang Kawalan Bagi Kawasan Pedalaman dan Pulau-Pulau. 

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, program ini melibatkan peruntukan subsidi kerajaan bagi penghantaran barang-barang kawalan dan barang perlu dari Pusat Bekalan kepada Pusat Jualan. 

“Setakat ini, tujuh jenis barangan terlibat adalah diesel, petrol RON95, gas petroleum cecair (LPG), minyak masak, beras putih, gula putih bertapis dan tepung gandum. 

“Penambahbaikan ini akan melibatkan empat komponen, iaitu kaedah perolehan pelantikan syarikat perkhidmatan pengangkutan, penentuan jumlah kuantiti bekalan, mekanisme kawalan pengedaran bekalan dan kaedah pemantauan penjualan,” katanya dalam kenyataan media di sini, baru-baru ini. 

Tambah Armizan, penambahbaikan ini perlu dilaksanakan bagi memastikan objektif pelaksanaan program ini dapat dicapai sekali gus menangani ketirisan subsidi kerajaan dan manfaat pelaksanaan sampai kepada golongan sasar. 

“Bagi tahun ini, penambahbaikan akan dirintis untuk tiga komponen yang lain termasuk rujukan kepada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) untuk mendapatkan anggaran keperluan isi rumah di sesebuah kawasan untuk menentukan jumlah kuantiti bekalan. 

“Pada masa yang sama, sistem pelaporan pengedaran dan penjualan perlu diperkukuhkan untuk memastikan bekalan sampai dan dimanfaati golongan sasar.

“Mekanisme yang lebih teliti wajar dipertimbangkan untuk kawasan berisiko ketirisan seperti Pulau Sebatik yang merupakan kawasan sempadan. Ini termasuk mendapatkan kerjasama organisasi pentadbiran setempat,” jelasnya. 

Untuk rekod, peruntukan keseluruhan Program Penyeragaman Harga yang diluluskan bagi tahun 2024 adalah sebanyak RM225 juta.

Bagi daerah Tawau dan Kalabakan, sebanyak tiga zon terlibat meliputi 13 kawasan pengedaran dan 32 buah Point of Sale. Manakala bagi Zon Sebatik, terdapat lapan kawasan pengedaran yang terlibat iaitu Wallace Bay, Mentadak, Sungai Tongkang, Bergusong, Sungai Pukul, Sungai Pisak-Pisak, Sungai Lahi dan Sungai Laba dengan 21 buah Point of Sale. 

Exit mobile version