Site icon TUHAU BAMBANGAN

Hajiji terkilan, ada pihak persenda slogan keramat ‘Sabah Maju Jaya’

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor merasa sedikit terkilan apabila terdapat pihak-pihak tertentu yang sering mempersenda dan memperlekeh slogan keramat ‘Sabah Maju Jaya’.

Katanya, perkara itu banyak dilihat melalui tulisan-tulisan atau komen-komen di dalam media sosial.

“Niat dan hasrat kita ialah mengangkat dan menjulang tinggi slogan keramat ‘Sabah
Maju Jaya’ dari Jata Negeri yang setiap masa terlihat dan terbaca oleh kita, tetapi ramai pula yang memperlekehkannya dan memandang rendah usaha murni yang kita perjuangkan itu.

“Pada saya, mempersenda dan memperlekeh slogan ‘Sabah Maju Jaya’, samalah sifatnya seperti tidak menghormati, atau tidak menyayangi bahkan menghina negerinya sendiri”, katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Amanat dan Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Isnin.

Jelas Hajiji, slogan itu merupakan frasa ringkas dengan mesej besar mengajak setiap rakyat di negeri ini mencintai kemajuan dan kejayaan.

“Akronim Sabah Maju Jaya dipilih sebagai hala tuju pembangunan negeri ini kerana mahu mengangkat slogan yang telah lama berada pada Jata Negeri ke kedudukan yang lebih tinggi,” tegasnya.

Sementara itu, beliau berkata, negeri-negeri lain termasuk di negara jiran Indonesia, juga mempunyai slogan mereka tersendiri. Contohnya Sarawak memperkenalkan slogan ‘Sarawak Maju Makmur’ bagi melonjakkan kemajuan negeri dan Selangor menggunakan ‘Kita Selangor Maju Bersama’.

Selain itu katanya, Terengganu menggunakan istilah ‘Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera’, Melaka memperkenalkan slogan ‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat’, manakala Negeri Kedah menggunakan ‘Kedah Sejahtera – Nikmat Untuk Semua’ dan bagi negara jiran, iaitu Indonesia pula mengangkat slogan ‘Terus Melaju Untuk Indonesia Maju’.

Exit mobile version