Site icon TUHAU BAMBANGAN

Kerajaan Persekutuan digesa laksana proses pembenihan awan di Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan perlu mengambil langkah drastik untuk melaksanakan proses pembenihan awan di Sabah.

Cuaca panas dan kering ketika ini mencecah sehingga 40 darjah Celsius mula menjejaskan bekalan air sedia ada di empangan negeri, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah.

Menurutnya, laporan Jabatan Air Sabah (JANS) menunjukkan takungan empangan air berada pada tahap kritikal dan hanya tinggal tiga bulan untuk menampung keperluan pengguna.

Selain itu, katanya, sumber air di lembangan sungai di beberapa daerah juga menunjukkan penurunan yang ketara.

“Gelombang haba tinggi yang memusnahkan tanaman dan ternakan telah mula menjejaskan bekalan air penduduk di kawasan luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Masiung yang juga Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu, mahu kerajaan Sabah segera mengemukakan permohonan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk melaksanakan proses pembenihan awan.

Menjelaskan isu itu, Masiung berkata, ketika ini kemarau dan cuaca panas di Sabah sudah pun berlarutan sebulan.

METMalaysia turut meramalkan keadaan kering dan panas di Sabah akan berterusan sehingga penghujung Mei depan.

“Fenomena monsun barat daya kali ini agak luar biasa dan kerajaan perlu mengambil langkah drastik untuk mempercepatkan proses pembenihan awan.

“Langkah catuan bekalan air tidak disenangi penduduk. Lebih-lebih lagi pertengahan bulan Mac ini umat Islam akan berpuasa,” katanya.

Pada masa sama, Masiung berkata sekolah juga mula dibuka, di mana cuaca panas dan kering boleh menyebabkan orang ramai terdedah kepada strok haba.

Exit mobile version