Site icon TUHAU BAMBANGAN

Pesta MSKPPM wadah terbaik pupuk budaya sihat dengan bersukan di kalangan guru

KOTA KINABALU: Penganjuran Pesta Majlis Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (MSKPPM) menjadi wadah terbaik dalam memupuk budaya sihat secara bersukan di kalangan guru dan kakitangan bukan guru. 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, program itu juga menjadi landasan untuk merapatkan silaturahim serta memupuk semangat kerjasama dalam satu pasukan dengan komuniti setempat. 

Justeru itu katanya, pengilbatan semua pihak berkaitan dalam program ini merupakan platform berkesan untuk memaksimumkan penyertaan guru dalam kegiatan sukan selain dapat menyuburkan minat dalam memartabatkan kepelbagaian kebudayaan rakyat di negara ini. 

“Oleh itu, pemilihan Sabah sebagai Pengelola Pesta MSKPPM Peringkat Kebangsaan Kali Ke-49 Tahun 2024 amat bertepatan.

“Sabah mempunyai 35 etnik dan 217 sub-etnik, namun negeri ini mampu mewujudkan perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat di Malaysia. Ini kerana sukan adalah medium perpaduan yang paling berkesan dalam menyatukan masyarakat berbilang kaum di negara ini,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penutupan Pesta MSKPPM di sini, semalam.

Sementara itu, Arifin berkata, melalui program ini warga pendidik dapat berkenalan antara satu sama lain selain dapat bertukar-tukar pendapat demi peningkatan mutu profesion. 

“Pengilbatan dalam MSKPPM sudah pasti mampu memberikan kualiti mental yang mantap di samping mencari bakat warga pendidik di dalam bidang sukan. Malah pesta seperti ini juga dapat memupuk nilai-nilai positif serta meningkatkan kualiti hidup dan kesihatan diri. 

“Saya percaya setiap daripada peserta Pesta MSKPPM yang ada di hadapan saya pada malam ini merupakan kumpulan profesional yang mampu memberikan impak positif terhadap usaha mempersiapkan dan memperkemaskan diri untuk bersedia dalam mendukung setiap hasrat kerajaan,” katanya. 

Exit mobile version