Site icon TUHAU BAMBANGAN

KPDN laksana Ops Kesan, pantau kesan pelaksanaan kenaikan SST

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah memulakan Ops Kesan 2024 bermula 1 Mac 2024 yang bertujuan untuk memantau kesan pelaksanaan peningkatan kadar cukai perkhidmatan daripada enam peratus kepada lapan peratus. 

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Ops Kesan akan digerakkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011. 

“Fokus pemantauan dan penguatkuasaan adalah untuk memastikan peniaga di semua peringkat tidak mengambil kesempatan untuk mencatut atau membuat kenaikan harga yang bertentangan dengan perundangan pencatutan. 

“Skop penguatkuasaan adalah meliputi sektor-sektor yang terlibat dengan kenaikan cukai perkhidmatan dan keseluruhan rantaian perkhidmatan yang berkaitan. Ini termasuk pemantauan kepada sektor yang tidak terlibat dengan kenaikan cukai perkhidmatan seperti makanan dan minuman. 

“Tindakan tegas akan diambil sekiranya kenaikan harga yang tidak munasabah dilakukan dan tidak sejajar dengan perundangan pencatutan,” katanya menerusi satu kenyataan media di sini, hari ini. 

Ops Kesan telah dikuatkuasakan melalui Arahan Ketua Pengarah Penguat Kuasa Bil. 8/2024 yang telah dikeluarkan pada 29 Februari lalu dan dipanjangkan kepada semua KPDN negeri. 

Pada masa sama, KPDN mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk memberikan maklumat dan bukti berkaitan tentang sebarang tindakan kenaikan harga tidak berwajaran yang dikenal pasti. 

“KPDN akan membuat siasatan serta merta di premis-premis terlibat,” tegasnya. 

Exit mobile version