Site icon TUHAU BAMBANGAN

Tiga kontena daging ayam bernilai lebih RM900 ribu dirampas, disyaki lari dari cukai

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah telah menyekat kemasukan tiga kontena daging ayam beku lebih 81,000 kilogram (KG) dan dianggar bernilai RM931,500 yang disyaki mengelak daripada cukai. 

Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, sekatan dan rampasan itu dibuat selepas pihaknya melakukan pemeriksaan ke atas tiga buah kontena yang tiba dari Pelabuhan Klang, Selangor pada 2 dan 8 Februari lalu. 

“Kontena ini diikrarkan mengandungi dagangan ‘Frozen Chicken Part, Boneless Breast dan Frozen Chicken Part, Bone In Legs.

“Hasil pemeriksaan fizikal ke atas tiga buah kontena tersebut, pasukan pemeriksaan telah mendapati dagangan yang dimuatkan dalam kesemua kontena adalah daging ayam beku yang terdiri daripada bahagian dada ayam dan tulang paha ayam. 

“Ketiga-tiga kontena ini berasal dari negara Thailand dan dibawa masuk ke negara ini melalui Bukit Kayu Hitam, Kedah pada 16 Jan lalu dengan menggunakan borang kastam no.8 (in transit) menggunakan mod darat dan destinasi seterusnya adalah ke Pelabuhan Klang,” katanya dalam sesi sidang media di sini, semalam. 

Katanya, menerusi hasil semakan, barang dagangan mendapati pengimport menggunakan borang K3, dan ini adalah tidak betul mengikut Peraturan Kastam mengenai pemindahan barang berstatus ‘in transit’ kerana didapati kontena-kontena ini melakukan aktiviti ‘in transit’ di Zon Bebas Pelabuhan Klang. 

Tambah beliau, sepatutnya, barang dagangan ini, diikrar menggunakan borang Kastam K1. 

“Hasil semakan lanjut, sepatutnya dagangan ikrar menggunakan K1 semasa pergerakan keluar daripada Zon Bebas ke Pelabuhan Klang dan seterusnya menggunakan Borang K3 dari Pelabuhan Klang ke Pelabuhan Sepanggar. 

“Nilai dagangan di dalam tiga buah kontena tersebut dianggarkan bernilai RM931,500 dengan cukai terlibat sebanyak RM186,300,” tambahnya. 

Modus Operandi (MO) bagi kes ini adalah pihak syarikat dan agen yang terlibat mengelakkan cukai tanpa menggunakan Borang Kastam no.1.

Kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(g), Akta Kastam 1967. Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada sepuluh kali ganda nilai barangan itu dan tidak lebih daripada dua puluh kali ganda nilai barangan itu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. 

Exit mobile version