Site icon TUHAU BAMBANGAN

Klinik Tangkarason Beluran musnah dijilat api

BELURAN: Klinik Kesihatan Tangkarason termasuk kuarters pekerjanya yang bersebelahan musnah dijilat api dalam kejadian 1 pagi tadi.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr. Asits Sanna berkata, keseluruhan bangunan klinik dan kuarters yang berstruktur kayu termasuk semua aset dan kelengkapan perubatan serta peralatan telah musnah sepenuhnya.

Walau bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah.

“Bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan, semua perkhidmatan akan dipindahkan buat sementara waktu ke Dewan Serbaguna Kampung Tangkarason,” katanya dalam sebuah kenyataan di sini, hari ini.

Seramai empat anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran segera bergegas ke lokasi berjarak kira-kira 215 kilometer dari balai.

Ketua BBP Beluran, Edoen Macheal berkata, klinik berserta kuarters pekerja berkeluasan 60×30 kaki persegi terbakar 100 peratus semasa Pasukan Bomba tiba di lokasi.

“Pasukan Bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan 1 aliran 100 kaki 2 pancutan sumber air dari kolam.

“Operasi dilaporkan terkawal pada jam 6.20 pagi dan ditamatkan pada jam 8.26 pagi,” katanya.

Exit mobile version