Site icon TUHAU BAMBANGAN

Peruntukan RM553.07 juta, tingkat tahap sara diri tahun ini

PUTATAN: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan telah memperuntukkan sebanyak RM553.07 juta untuk sektor pertanian, perikanan dan industri makanan dalam bajet tahun ini demi mempertingkatkan tahap sara diri Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau jamin bahawa Kerajaan Negeri akan terus berusaha meningkatkan hasil dan kualiti pertanian dalam memastikan bekalan makanan di negeri ini mencukupi.

“Justeru itu, pelbagai inisiatif dan inovasi diperkenal dan dilaksanakan melalui program-program pembangunan tanaman, akuakultur, penternakan dan pembangunan usahawan tani,” katanya semasa perasmian majlis ramah mesra pemimpin bersama ahli Pertubuhan Peladang daerah Putatan di tapak Mobile Food Kiosk di sini, semalam.

Hajiji berkata, Putatan mungkin tidak dapat menjalankan aktiviti pertanian komoditi berskala besar kerana saiznya yang agak kecil berbanding daerah lain di negeri ini tetapi dengan kedudukannya yang berdekatan dengan Bandaraya Kota Kinabalu, ahli Pertubuhan Peladang Putatan berpeluang menjadi pemain industri pemasaran rantaian nilai agromakanan.

Ketua Menteri juga mengalu-alukan penubuhan Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian
atau Peladang Outlet di Kampung Meruntum Putatan dan beliau yakin dengan wujudnya
Peladang Outlet ini secara tidak langsung akan menyumbangkan peluang pekerjaan
serta peluang perniagaan kepada masyarakat peladang di daerah Putatan.

Exit mobile version