Site icon TUHAU BAMBANGAN

Sabah, negeri pertama perkenalkan Sijil Nikah, Cerai & Ruju’ digital – Arifin

KOTA KINABALU: Sabah melakar sejarah apabila menjadi negeri pertama yang akan mengeluarkan Sijil Nikah berbentuk digital kepada pasangan yang bernikah di negeri ini.

Exco Agama Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, digitalisasi urusan perkahwinan penduduk Islam di Sabah adalah usaha yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan melalui kerjasama di antara Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dengan Jabatan Perkhidmatan Komputer Negeri Sabah (JPKNS).

“Kita antara yang terawal memperkenalkan usaha ini untuk membantu mempermudahkan urusan kekeluargaan dengan pengurusan yang lebih cepat dan selamat.

“Ini yang disarankan oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ke arah memperkasa kerajaan digital di negeri ini. Mudah-mudahan usaha ini dapat mempermudahkan masyarakat dalam urusan kekeluargaan, perkahwinan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri dan menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoU) Public Key Infrastructure (PKI) di antara MUIS, JHEAINS serta Pos Digicert Sdn Bhd bagi Sijil Digital Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ di sini, hari ini.

Arifin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah berkata, pihaknya akan mengembangkan pengurusan digital ini kepada bidang-bidang lain bagi mempermudahkan umat Islam dalam berurusan.

Tambah Arifin, antara lain fungsi pendigitalan ini dilaksanakan juga adalah boleh menghalang tindakan pemalsuan sijil oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Difahamkan, antara tiga ciri keselamatan yang terdapat dalam sijil digital ini ialah, Secured QR Code, Tandatangan Digital Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ orang Islam dan cop Mohor JHEAINS.

Pengesahan sijil digital ini menggunakan persisian Adobe Reader, Aplikasi Mobile yang dibangunkan oleh Pos Digicert, iaitu Pos Digicert Secured QR.

Beberapa usaha JHEAINS dan MUIS dengan bantuan JPKNS dalam usaha digitalisasi ini telah pun membangunkan sistem-sistem aplikasi seperti sistem E-Perkahwinan, sistem Pengesahan Kad Perakuan Nikah, E-Kariah, E-Masjid, E-Aduan Penguatkuasaan dan sistem Pendakwaan.

Exit mobile version