Site icon TUHAU BAMBANGAN

443 unit PPR di Kibabaig sedia untuk dihuni

PENAMPANG: Empat daripada keseluruhan enam blok Program Perumahan Rakyat (PPR) di Kibabaig di sini kini sedia untuk dihuni, manakala yang dua lagi masih dalam proses pembaikan dalam blok dan cerun.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Joachim Gunsalam berkata, difahamkan, empat blok tersebut mengandungi 443 unit rumah dan surat tawaran untuk menyewa kepada yang layak menduduki rumah PPR ini akan disampaikan kepada mereka.

“Mereka boleh menduduki unit masing-masing bermula bulan Februari dan Mac, manakala dua lagi blok yang masih dalam proses pembaikan mengandungi 134 unit rumah,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri telah mengadakan lawatan ke PPR tersebut pada Khamis lalu (18 Jan).

Dalam lawatan tersebut, beliau telah diberikan taklimat oleh Pegawai Eksekutif (PE) Majlis Daerah Penampang (MDP), Robert Malangking dan pegawai daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Persekutuan (KPKT).

Turut hadir Setiausaha Tetap KKTP, Datuk Dr. Jamili Nais; Ahli-ahli Majlis Penampang, para pegawai, kakitangan KKTP dan pemimpin setempat.

Joachim berkata, MDP sedang meneliti ribuan permohonan dan pemohon yang layak akan dipilih untuk menyewa rumah PPR ini.

“Ini menunjukkan masih ramai di kalangan rakyat yang memerlukan perumahan seperti ini dan Kerajaan Negeri sedang mengenal pasti lot-lot tanah kerajaan yang sesuai dibina PPR mengikut polisi Kerajaan Pusat (KPKT) iaitu tanah sesuai perlu tersedia dan peruntukan hanya disalurkan untuk membina bangunan itu supaya mengelak projek sakit,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Penampang, Francis Chong berkata, kunjungan Menteri tersebut adalah untuk memudahkan penyelarasan kerja di antara KPKT, KKTP dan Majlis Daerah Penampang.

Beliau juga berharap kesemua enam blok PPR itu dapat didiami dalam masa terdekat dan semua proses berjalan lancar.

Exit mobile version