KOTA KINABALU: Kerjasama erat antara warga Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) serta pihak berkepentingan telah banyak membantu pencapaian kementerian yang memberangsangkan pada tahun 2023.
Menterinya, Datuk Jahid Jahim berkata, secara keseluruhan prestasi perbelanjaan sehingga 31 Disember tahun lepas menunjukkan bahawa kementeriannya hampir mengoptimumkan peruntukan yang telah diagihkan.
“Bagi projek pembangunn pembiayaan kerajaan negeri Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) tahun 2023 adalah 99.53 peratus dengan nilai lebih RM221.1 juta, manakala peruntukan perbekalan dibelanjakan sebanyak 62.44 peratus dengan nilai lebih RM21.4 juta” katanya semasa berucap pada Majlis Amanat Menteri di Kota Kinabalu pada Khamis.
Sementara itu, bagi Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (RMSMJ), Jahid berkata, kementeriannya telah menyalurkan 100 peratus peruntukan kouta, iaitu 1,500 unit kepada semua pejabat pelaksana.
“Setakat 31 Disember 2023, sebanyak 1,023 unit telah siap, manakala bagi program RMSMJ kouta 2023, kementerian telah menyalurka peruntukan untuk 312 unit RMSMJ dan peruntukan ini telah diagihkan kepada 11 daerah,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, kementeriannya juga telah membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pentadbiran Luar Bandar (Pindaan) 2023 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November 2023.
“RUU tersebut adalah berkaitan dengan JKKK untuk memantapkan lagi institusi badan pentadbiran JKKK dan sebagai satu sumber kuasa dalam melaksanakan tugas-tugas kampung masing-masing.
“RUU tersebut juga sebagai pemberi kuasa kepada pegawai daerah/pihak berkuasa untuk menubuhkan jawatankuasa di peringkat daerah dari segi pelantikan, penamatan, kawalan disiplin, mengadakan mesyuarat, menyediakan minit badan JKKK dan pembayaran elaun,” jelasnya.