Site icon TUHAU BAMBANGAN

Pemandu lori sampah maut selepas terbabas, elak lubang jalan di Kinabatangan

Pihak Bomba berusaha mengeluarkan mangsa tersepit maut dari lori. (Sumber: JBPM Sabah)

KINABATANGAN: Seorang pemandu lori sampah dilaporkan maut selepas lori yang dipandunya terbabas sendiri di Jalan berdekatan Sekolah Kebangsaan Sentosa Jaya, Kota Kinabatangan hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, lori sampah Majlis Daerah Kinabatangan (MDK) yang dipandu mangsa, Mohamad Izuan Mambasang, 39 terbalik selepas terbabas semasa cuba mengelak lubang di jalan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, terdapat tiga orang mangsa terlibat dalam kemalangan tersebut.

Foto: Ihsan JBPM Sabah

“Seorang mangsa tersepit (Izuan) telah berjaya dikeluarkan oleh pasukan Bomba dan disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.

“Mangsa seterusnya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Tambah Nurul, dua mangsa lagi, iaitu Ahmad Din Ahmad dan Muh Saufi Ahmad, 26 mengalami kecederaan dan selamat.

“Kedua-dua mangsa telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan selanjutnya,” katanya.

Nurul berkata, setelah memastikan tiada lagi bahaya lain, operasi kemudian ditamatkan pada jam 12.40 tengah hari.

Exit mobile version