KOTA KINABALU: Pihak geologi telah mengenalpasti empat sumber air yang terdapat di Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang boleh membantu menampung dan seterusnya menyelesaikan isu kemelut kekurangan bekalan air di universiti itu.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Mustapha Sakmud berkata, proses penggerudian akan dilaksana secepat mungkin bagi memastikan sumber air itu benar-benar wujud.
“Apabila kita mengenalpasti bahawa sumber air ini mencukupi dan kita akan buat proses penggerudian baru kita akan buat loji penapis dan juga piping kepada kolej-kolej kediaman pelajar.
“Jadi saya menggesa kepada semua pihak untuk kita pastikan bahawa projek ini akan dapat disiapkan mengikut tempoh kontrak yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui media selepas mendengar taklimat mengena penggalian telaga tiub di UMS, hari ini.
Tambah Mustapha, KPT akan memberi keutamaan kepada projek tersebut sebagai usaha penyelesaian masalah jangka pendek di universiti itu.
“Kita letakan ke dalam ‘quadrant, urgent and important’, sebab ini sedang diperhati oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Menteri KPT kita sendiri, Datuk Zambry Abdul Kadir.
“Ini akan menjadi laporan mingguan dalam mesyuarat dan saya mahu supaya laporan diberikan setiap minggu kepada KPT supaya kita dapat monitor projek ini dan dapat dilaksanakan mengikut garis masa yang telah ditetapkan,” tegasnya.
Jelasnya lagi, peruntukan sebanyak RM3 juta yang diumumkan oleh PM sebelum ini digunakan untuk proses menggali telaga tersebut, manakala RM2 juta lagi yang diumum oleh Menteri KPT adalah untuk sistem perpaipan.
Katanya, peruntukan tersebut disalurkan secara terus kepda Unit Pelaksanaan Penyelarasan (ICU).