Site icon TUHAU BAMBANGAN

Sabah capai rekod kutipan hasil walaupun berdepan cabaran penurunan harga CPO, CO

KOTA KINABALU: Kutipan hasil pendapatan negeri Sabah pada tahun lalu berjaya melepasi rekod 2022 walaupun berdepan dengan cabaran penurunan harga minyak sawit mentah (CPO) dan harga minyak mentah (CO).

Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kerajaan negeri masih berupaya mengutip hasil berjumlah RM6.971 bilion berbanding kutipan hasil 2022 dengan lebihan RM11 juta.

“Pada tahun 2021, Kerajaan Negeri telah mencipta sejarah apabila kutipan hasil negeri pertama kali mencapai paras RM5 bilion iaitu RM5.449 bilion.

“Kemudian pada tahun 2022, sekali lagi paras ini meningkat kepada RM6 bilion dengan jumlah kutipan RM6.960 bilion dan pada tahun 2023, Ketika kita sedang dalam peringkat akhir penutupan akaun tahun 2023, kelihatan hasil telah mencecah RM6.971 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Makan Malam Kewangan 2024 di Magellan Sutera di sini, semalam.

Tambah Masidi, ini adalah kerana cabaran pengurangan harga komoditi tersebut mengakibatkan pengurangan kutipan hasil daripada dua sumber hasil utama negeri tersebut dengan nilai sekitar setengah billion (RM566.3 juta) berbanding tahun 2022.

“Pada tahun 2023, 68% daripada hasil negeri adalah datangnya daripada dua sumber tersebut.

“Dengan itu, saya amat berbangga dengan warga Kementerian ini yang amat komited dan bertunggus lumus mencari hasil sehinggalah Kita berupaya mengatasi kekurangan tersebut dengan kutipan hasil yang lain,” tambahnya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri telah menerima dividen dan sumbangan daripada agensi awam yang telah mencapai RM154.8 juta melebihi sasaran KPI Kementerian, iaitu hanya sebanyak RM120 juta.

“Dua inisiatif yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Kewangan antaranya, pengemaskinian pekeliling mengenai garis panduan pembayaran dividen dan sumbangan.

“Inisiatf kedua ialah melalui State Company Information System Version 5 (SCIS V5), Kedua-dua inisiatif ini berfungsi untuk meningkatkan keberkesanan dan kualiti kerja kita di Kementerian,” jelasnya.

Exit mobile version