Site icon TUHAU BAMBANGAN

GRS tidak terlibat dalam langkah gulingkan Kerajaan Perpaduan – Hajiji

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah sesekal terlibat dalam sebarang cubaan bagi mengambil ali Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat.

Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, tindakan itu hanya akan menjerumuskan negara ke arah kekacauan seterusnya mewujudkan keadaan tidak stabil.

“Kita sudah ada sebuah Kerajaan Persekutuan yang berfungsi dengan baik dan mempunyai hubungan baik dengan kerajaan negeri kita, jadi kenapa kita mahu menggoyangkan bot,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu (10 Jan).

Hajiji yang juga Ketua Menteri turut mempersoalkan motif dan niat mereka melakukan ‘Langkah Dubai’, yang dilihat memenuhi agenda politik sendiri semata-mata tanpa mengambil peduli kebajikan rakyat.

“Kita bekerja untuk kemakmuran negara dan rakyat, kita tidak menyokong sebarang gerakan yang akan menyebabkan negara tidak stabil.

“Malaysia mengamalkan demokrasi, jadi siapa yang mahu jadi Perdana Menteri sepatutnya tunggu saja Pilihan Raya Umum (PRU) untuk melihat sama ada rakyat menerima mereka,” tegasnya.

Hajiji sekali lagi mengulangi pendirian GRS yang menyokong penuh dan memberi penuh keyakinan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memimpin Malaysia yang berbilang kaum ke arah kemakmuran.

Exit mobile version