Site icon TUHAU BAMBANGAN

Krisis bekalan air di UMS dijangka selesai hujung bulan ini – Shahelmey

KOTA KINABALU: Isu bekalan air yang dialami warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) dijangka akan selesai apabila kerja-kerja paip utama yang menyalurkan air tambahan dari Loji Rawatan Air (LRA) Telibong 2 di Tuaran siap pada hujung bulan ini.

Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, pihaknya telah mengarahkan kontraktor untuk segera menyiapkan kerja berkenaan dan dijangka dapat meredakan isu kekurangan bekalan air di UMS dan kawasan sekitarnya.

“Isu ini sepatutnya sudah selesai dengan penyiapan projek LRA Telibong 2 Fasa 2 yang beroperasi sejak awal Disember lalu. Bagaimanapun, ada beberapa kerja paip utama perlu diselesaikan bagi membolehkan air terawat tambahan dari LRA Telibong 2 Fasa 2 disalur ke rangkaian paip pengagihan.

“Semua usaha sedang dilaksanakan bagi memastikan kerja-kerja paip utama itu selesai sebelum akhir Januari, sekali gus meredakan isu air yang sedang dihadapi ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas masalah isu bekalan air yang dihadapi pelajar UMS hingga menyebabkan ada pelajar yang tidak mandi berhari-hari.

Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, penyaluran bekalan air turut berdepan isu kecurian air melalui penyambungan haram da vandalism terhadap sistem dan rangkaian paip Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).

Katanya, berdasarkan rekod JANS pada bulan lalu, UMS hanya menerima bekalan 2.7 MLD berbanding keperluan kampus berkenaan yang dianggarkan 2.98 MLD.

“Bagaimanapun, JANS turut melaksanakan penghantaran air menggunakan lori tangki ke UMS bagi menampung kekurangan bekalan air yang sampai ke kampus UMS,” jelasnya.

Exit mobile version