KOTA KINABALU: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin hari ini mengakui bahawa ada parti lain yang mahu bergabung dengan UMNO Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Bagaimanapun, katanya, UMNO Sabah akan mengambil langkah untuk mengukuhkan parti di semua peringkat sebelum bekerjasama dengan parti lain.
Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah memaklumkan bahawa Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah menjelaskan mengenai gabungan dengan parti lain akan ditentukan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan.
“Kita tunggulah selepas pembubaran DUN dan UMNO Sabah akui memang ada parti lain yang berminat untuk bergabung dengan kita.
“Tapi ini semua akan diputuskan selepas DUN Sabah bubar serta bergantung kepda persefahaman, kesetiaan dan keikhlasan untuk memperjuangkan masa depan rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Sementara itu, bagi mengukuhkan parti, pihaknya akan mengadakan siri jelajah UMNO di seluruh Sabah bermula awal Februari ini.
“Kita bagi keutamaan terlebih dahulu untuk kuatkan parti. Siri jelajah ini akan memantau dan melihat sendiri kekuatan parti dari segi persediaan di samping menjelaskan isu semasa kepada ahli di peringkat akar umbi,” tegasnya.
Pada masa sama, beliau berkata, UMNO Sabah mengalu-alukan kerjasama bersama parti gabungan lain bersandarkan kepada prinsip menghormati perjanjian antara satu sama lain.
“Bukan saja memberikan manfaat kepada parti tapi rakyat Sabah keseluruhannya. Kita banyak belakar dari proses gabungan sebelum ini. Jadi perkara ini turut mematangkan UMNO Sabah untuk mengambil keputusan, yang penting sekarang UMNO Sabah perlu diperkuatkan,” katanya.