Site icon TUHAU BAMBANGAN

Pastikan maklumat sahih dan benar sebelum disebarkan – Emmie

SEMPORNA: Golongan wanita muda khususnya Beliawanis diingatkan untuk sentiasa memastikan penyebaran sebarang maklumat hendaklah sahih dan benar.

Ketua sayap Pergerakan Beliawanis parti Gagasan Rakyat sabah (Gagasan Rakyat), Emmie Martin Idang berkata, adalah penting bagi semua anak muda untuk peka maklumat serta celik teknologi.

“Bila kita berucap atau menyebarkan maklumat bukan keterampilan sahaja yang penting, tetapi pastikan maklumat adalah tepat dan benar. Oleh itu, berhati-hatilah dan lakukan tindakan penyebaran yang baik serta efektif.

“Dalam era modenisasi ini juga, suka saya ingatkan untuk kita banyakkan membaca kerana banyak maklumat yang diperlukan hanya melalui hujung jari. Maka itu, sebelum menyebarkan sesuatu maklumat, pastikan kita sahih bahawa maklumat itu adalah benar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Program Keterampilan dan Usahawan Digital Gema Beliawanis Zon 6 di Semporna pada Sabtu lalu.

Bercakap mengenai bidang usahawan digital, Emmie mengulas, dunia usahawan pada era ini sudah semakin kompetetif dengan melalui pemasaran digital.

“Dengan kadar pengangguran yang semakin membimbangkan saya faham amat sukar Beliawanis mendapat pekerjaan, sebab itu ramai juga yang masuk ke dalam bidang keusahawanan untuk bertahan meneruskan kehidupan harian,” katanya.

Emmie pada masa sama turut mengingatkan para Beliawanis dan semua anak muda yang baru sahaja menceburi bidang perniagaan untuk sentiasa peka kepada peluang-peluang yang diberikan oleh kerajaan negeri dalam membantu mengorak langkah pertama dalam keusahawanan.

“Peluang seperti bantuan, Program Pusat Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang ditawarkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI), Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) dan lain-lain lagi.

“Kita juga ada koperasi-koperasi yang boleh memberikan dana agar usahawan pemula dapat mengorak langkah dalam bidang perniagaan. Sebab itu, kita kena tahu bagaimana untuk memanfaatkan dana ini dan membantu kita dalam perniagaan,” tegasnya.

Dalam pada itu, Emmie turut menyeru agar semua Ketua Beliawanis di bahagian masing-masing mengambil tanggungjawab untuk menyebarkan usaha dan peluang-peluang yang diberikan kerajaan negeri.

Exit mobile version