Site icon TUHAU BAMBANGAN

Jelajah Beliawanis usaha dekati dan fahami suara akar umbi

SEMPORNA: Pelaksanaan Jelajah Beliawanis ke seluruh negeri Sabah diyakini mampu mendekati dan menyantuni serta mendengar secara terus suara-suara dari akar umbi.

Ketua sayap Pergerakan Beliawanis parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Emmie Martin Idang berkata, ramai anak muda yang kurang cakna tidak menceburi bidang politik.

“Sebab itu kita kena ketahui kenapa mereka kurang berminat dan inilah harapan kami supaya kita boleh berhubung dengan mereka secara langsung untuk mengetahui apa masalah-masalah yang mereka hadapi.

“Dengan jelajah ini juga kita boleh merapatkan jurang yang kita ada di kawasan pedalaman dan seterusnya kita boleh bantu mereka secara efektif dan lebih berkesan,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Program Keterampilan dan Usahawan Digital Gema Beliawanis Zon 6 di Semporna pada Sabtu (6 Jan).

Mengulas mengenai program, Emmie berkata, keberkesanan program keterampilan tersebut mampu meningkatkan keyakinan para peserta untuk lebih berani berucap di khalayak orang ramai.

“Jadi saya rasa selepas ini mereka akan lebih maju ke hadapa dan boleh berucap di khalayak ramai. Sebab ramai perempuan muda inginkan keberanian apabila berada di atas pentas ketika memberikan ucapan.

“Kita ada juga program digital usahawan di mana dalam program para peserta diberi tunjuk ajar agar mereka lebih tahu bagaimana untuk melancarkan transaksi dan perniagaan seterusnya membuat pemasaran digital secara lebih menyeluruh,” katanya.

Untuk rekod, seramai lebih 200 peserta telah melibatkan diri dalam program jelajah kali ketiga ini selepas Sandakan dan Tambunan. Manakala jelajah seterusnya akan dilaksanakan di daerah Beaufort dan di beberapa daerah lain.

Exit mobile version