Site icon TUHAU BAMBANGAN

Penganggur terlibat lebih 30 kes pecah rumah dan kedai berjaya diberkas

KOTA KINABALU: Seorang penganggur, lelaki tempatan berusia 20 tahun yang terlibat lebih 30 kes pecah rumah, kedai dan pejabat berjaya diberkas oleh Polis Kota Kinabalu dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Tuaran pada Sabtu (6 Jan).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, menerusi hasil soal siasat suspek mengaku terlibat memecah masuk rumah dan premis perniagaan di sekitar Kota Kinabalu khususnya di kawasan Luyang, Kepayan, Likas, Tanjung Aru, Inanam dan Penampang.

“Suspek aktif melakukan kegiatan pecah rumah secara solo sejak tahun lepas dan kes terakhir berlaku di sebuah premis perniagaan di Likas pada 31 Disember 2023 yang melibatkan kerugian lebih kurang RM7,000.

“Suspek yang positif dadah jenis syabu juga memiliki 11 kes kesalahan lampau melibatkan kes curi, pecah rumah dan melupuskan barang curi,” katanya dalam satu sesi sidang media di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Kinabalu, hari ini.

Menurutnya lagi, walaupun pengakuan suspek melakukan jenayah secara solo tetapi pihak polis masih menjalankan siasatan dengan lebih teliti untuk mengenal pasti jika ada rakan jenayahnya yang terlibat.

“Suspek telah membuang satu peti besi anggaran berat 200 kilogram ke dalam tasik, jadi kalau ikut dari segi berat peti besi tersebut, tidak logik dia melakukan jenayah itu secara solo, sebab itu kita siasat.

“Ada beberapa insiden di mana suspek dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) tetapi kita gagal mengenalpasti suspek sebab pakai topi dan pelitup muka.

“Namun, menerusi hasil kecekapan pegawai penyiasat, lima cap jari ditemui dalam kes pecah pejabat swasta di bangunan kompleks badan sukarelawan di Likas dan butir-butir peribadi serta tempat tinggal suspek telah dikenalpasti yang membawa kepada serbuan di Taman Keramat,” jelasnya.

Sementara itu, Mohd Zaidi berkata, anggaran kerugian yang dialami oleh kesemua mangsa bagi keseluruhan kes, iaitu 30 kes melibatkan 3 kes pecah rumah, 26 kes pecah kedai dan satu kes pecah pejabat adalah berjumlah lebih kurang RM119,965 sepanjang kegiatan jenayah yang dilakukan oleh suspek sejak tahun lalu hingga awal tahun ini.

“Beberapa barang hasil aktiviti pecah rumah turut dirampas termasuklah generator grinder, set drill, dua set telefon bimbit, empat tablet, tiga beg galas berjenama, kad kredit dan peralatan-peralatan pecah rumah.

“Suspek kini direman tujuh hari sehingga 14 Januari ini. Manakala, kes pula disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat bagi kesalahan kedua dan seterusnya,” katanya.

Exit mobile version