TELUPID: Perbincangan bagi menentukan mekanisme pembayaran semula 40 peratus hasil Persekutuan di Sabah perlu dibuat di antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Haji Noor pada Selasa ini (9 Jan) untuk mempersembahkan cadangan mekanisme hasil perbincangan para pemimpin UPKO bersama pakar-pakar dalam bidang berkaitan.
“Di peringkat saya, sebagai Presiden UPKO dan anggota Kabinet Persekutuan, saya telah mengadakan satu perbincangan meja bulat pada 19 Disember 2023 melibatkan pakar-pakar tertentu termasuk bidang guaman, mantan majistret dan mereka yang mempunyai pengalaman luas dalam perakaunan, percukaian dan pengauditan.
“Kita telah mencapai satu kesepakatan untuk mencadangkan satu mekanisme dan pada Selasa ini, saya akan mengadakan perjumpaan dengan Ketua Menteri Sabah untuk mencadangkan hasil perbincangan meja bulat tersebut yang mencakupi cadangan mekanisme pembayaran semula 40 peratus hasil Persekutuan di Sabah.
“Saya maklum usaha ini perlu dibuat secara “G to G” iaitu antara kerajaan negeri dan persekutuan, sebab itu cadangan ini saya serahkan dahulu kepada Ketua Menteri Sabah untuk dibincangkan di peringkat kerajaan negeri melalui mesyuarat Kabinet,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada majlis Sambutan Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baharu 2024 anjuran UPKO, di Dewan Majlis Daerah Telupid, di sini, hari ini.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi diminta mengulas perkembangan terkini cadangan kerangka meknanisme yang dibincangkan pada 19 Disember lalu.
Beliau berharap, kerajaan negeri akan tampil dengan mekanisme baharu untuk dikemukakan kepada kerajaan persekutuan.
“Formulanya sudah ada iaitu 40 peratus, cuma mekanismenya kerana ia melibatkan satu tuntutan tertunggak, tuntutan pembayaran bagi tempoh yang akan datang dan melibatkan perbincangan mengenai hasil yang dipungut secara langsung oleh pejabat-pejabat hasil di Sabah dan juga hasil-hasil yang tidak dikutip oleh pejabat hasil di Sabah (terus melalui pejabat hasil di Semenanjung),” katanya.
Beliau berkata, ini menjadikan perbincangan mengenai perkara itu sangat teknikal.
“Maka kita perlu tampil dengan satu mekanisme yang memudahkan semua pihak (kerajaan persekutun dan kerajaan negeri) untuk melaksanakan apa yang tertunggak sejak 1974,” katanya.
Ewon berharap usaha itu memberikan hasil positif dan mendapat sokongan seluruh rakyat Sabah.
“Kita maklum ramai pemimpin daripada Sabah pernah duduk dalam kabinet persekutuan dan pada saya, ini satu tanggungjawab besar, sebab itu saya mengambil inisiatif sendiri dengan sokongan parti untuk mencari cadangan mekanisme untuk perkara ini,” katanya.