KOTA KINABALU: Penganjuran Liga Wanita Tempatan Piala Datin Seri Panglima Datuk Hajah Julia Salag yang bermula hari ini akan dapat membantu untuk mencungkil bakat-bakat baru dalam arena bola sepak wanita khususnya di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, kejohanan yang dianjurkan julung-julung kali itu turut diyakini mampu melahirkan lebih ramai pemain-pemain wanita bagi mewakili Sabah dan pasukan Kebangsaan.
“Dengan adanya usaha-usaha pencarian bakat ini, saya berharap kita akan dapat mempertingkatkan lagi kualiti serta mempertahankan lagi kejuaraan Liga Wanita Nasional 2024.
“Semoga dapat meraih pingat Emas di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) pada bulan Ogos nanti yang akan berlangsung di negeri Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Pelancaran Piala Datin Seri Panglima Datuk Juliah Salag yang disempurnakan isteri Ketua Menteri, Datin Seri Juliah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini semalam.
Shahelmey yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) turut menyeru presiden-presiden Persatuan Bola Sepak daerah agar dapat mengambil inisiatif mengadakan kejohanan bola sepak di kawasan masing-masing.
Katanya, ia adalah untuk memastikan Sabah tidak ketandusan pemain-pemain wanita yang berkebolehan.Kejohanan yang akan turut disertai 17 pasukan itu akan diadakan selama dua hari bermula hari ini sehingga esok.