Site icon TUHAU BAMBANGAN

Tukar pimpinan tertinggi UMNO Sabah, tolak kerjasama dengan Warisan

KOTA KINABALU: Pimpinan tertinggi UMNO Sabah perlu ditukar kepada kepimpinan baharu apabila pengerusinya Datuk Seri Bung Moktar Radin dilihat memberi bayangan akan bekerjasama dengan parti Warisan (Warisan) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

Pengerusi Gerakan Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, tindakan untuk bekerjasama dengan parti Warisan yang didakwa telah menimbulkan banyak masalah jelas memberi sedikit kekecewaan kepadanya.

“Apa yang kita buat sekarang ini hanya dapat pasrah dan berdoa supaya Bung Moktar ini dapat ditukar kepimpinannya dalam UMNO Sabah.

“Mereka cuba nafikan, tapi sekarang kita lihat UMNO sudah terbentuk kepada dua kumpulan, dan sudah tentu kita berada di kumpulan yang menentang Bung Moktar dan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Sahfie Apdal.

“Kalaulah perkara ini berlaku, terpaksa kita menyerang parti itu (Warisan). Mahu buat macam mana lagi, kerjasama itu memang tidak dipersetujui oleh majoriti ahli UMNO tapi mereka dengan keputusan itu, apa kita buat, kita terpaksa lawan lah,” katanya ketika ditemui media di perkarangan Balai Polis Karamunsing pada Khamis.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis berhubung dakwaan kartel dadah yang ditahan di Sabah mempunyai hubungan dengan salah seorang pemimpin Warisan.

Zulkarnain pada masa sama turut mendakwa terlalu banyak kelemahan dan kegagalan sepanjang tempoh Warisan menjadi kerajaan di negeri ini.

“Banyak penganalisis-penganalisis bebas telah menyatakan bahawa Warisan gagal. Ekonomi merundum, tiada pelaburan masuk, pemutihan warga asing dan sebagainya.

“Kita sudah tahu, tapi kenapa Bung Moktar masih mahu bekerjasama dengan pimpinan Warisan, itu yang kita tidak faham dan sudah tentu jentera-jentera kita sudah bersiap sedia untuk melawan parti itu kalau beliau masih meneruskan niat bekerjasamanya,” tegasnya.

Mengulas mengenai kartel dadah yang ditangkap polis baru-baru ini, beliau berkata, ia dilihat mencemarkan nama baik badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini.

Exit mobile version