Site icon TUHAU BAMBANGAN

DUN Sabah lulus 3 RUU ambil alih kuasa kawal selia Bekalan Elektrik & Tenaga boleh baharu

KOTA KINABALU: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan tiga Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan pengambilalihan kuasa kawal selia bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu daripada kerajaan persekutuan oleh kerajaan negeri Sabah.

RUU yang disokong sebulat suara oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah itu melibatkan Suruhanjaya Tenaga Sabah (Pindaan) 2024, Bekalan Elektrik 2024 dan Tenaga Boleh Baharu Sabah 2024.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ketika membentangkan ketiga-tiga RUU itu berkata, pengambilalihan kuasa kawal selia itu akan memudahkan pelan mantap bag bekalan tenaga stabil di negeri itu.

“Inisiatif ini akan memberi manfaat kepada pembangunan sosio-ekonomi negeri melalui penyediaan bekalan tenaga yang mencukupi, stabil, berpatutan dan mampan seperti dalam Pelan Induk Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) yang dibangunkan oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan dilancarkan pada September tahun lalu bagi menyokong pelan hala tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri melalui ECoS akan memastikan proses pengambilalihan kuasa kawal selia bekalan elektrik dilaksanakan berkesan dan teratur tanpa sebarang gangguan kepada pihak pemegang taruh dalam industri bekalan elektrik di Sabah.

Katanya lagi, inisiatif itu juga adalah sebahagian daripada penurunan kuasa di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Selepas pewartaan enakmen itu, ECoS akan menjadi badan berkuasa yang mengawal selia sektor bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu di Sabah berkuat kuasa serta-merta.

ECoS telah pun memperoleh kuasa kawal selia ke atas sektor bekalan gas daratan sejak 10 Januari tahun lalu.

Exit mobile version