Site icon TUHAU BAMBANGAN

Saya sedih tapi redha dengan pemergian anak kedua kami: Ibu

TUARAN: Ibu kepada remaja yang meninggal dunia akibat demam denggi berdarah di sini, redha dengan pemergian anaknya namun mengharapkan ia menjadi iktibar dan pengajaran untuk semua pihak.

Lily Pius, 40, berkata, kehilangan anak kedua daripada enam beradik itu, sangat dirasai mereka sekeluarga namun beliau akur dengan ketentuan yang Maha Esa.

“Mendiang Aidil merupakan anak yang baik dan sentiasa mendengar cakap orang tua. Aidil juga seorang yang sangat disenangi oleh adik beradik dan rakan-rakan.

“Memang sehingga kini kami masih sukar untuk menerima pemergian Aidil, tetapi siapalah kita, hidup dan ajal manusia ada di tangan Tuhan.

“Walau bagaimanapun, saya mengharapkan tragedi ini menjadi suatu iktibar dan berharap agar perkara yang sama tidak berulang lagi kepada sesiapa di masa hadapan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Bulieng di sini, pada Selasa.

Terdahulu, tular di media sosial apabila hantaran facebook rasmi Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berhubung kisah mendiang Aidil mencuri perhatian netizen dan media tempatan.

Dalam video yang berdurasi empat minit 51 saat itu, Madius menceritakan kisah remaja malang tersebut yang telah dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Tuaran sebanyak tiga kali namun hanya diberikan panadol, ubat pecah kahak dan pam asthma serta suntikan anti mual.

Remaja itu hanya ditahan pada kali yang ketiga ketika gusinya mengalami pendarahan dan disahkan menghidap denggi berdarah sebelum dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) kerana keadan mendiang yang semakin kritikal.

Sementara itu, ayah mendiang Aidil, Erwend Noun, 47, memaklumkan terdapat sedikit kesilapan maklumat berhubung kronologi peristiwa yang menimpa anaknya.

“Saya bagi pihak keluarga memohon maaf kerana terdapat sedikit kesilapan info yang diberikan kepada Ahli Parlimen Tuaran. Mungkin ini disebabkan oleh keadaan pihak kami yang masih berkabung pada ketika itu menyebabkan kesilapan yang tidak disengajakan.

“Sebagai makluman, anak kami ini dihantar ke Hospital Tuaran pada 25 Disember, dan yang kali keduanya adalah pada 28 Disember 2023 sebelum ditahan dan disahkan menghidap demam denggi berdarah.

“Kemudian anak kami dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth, sebelum meninggal dunia pada 29 December jam 12.21am. Tiada yang lebih menyedihkan daripada kehilangan orang yang tersayang,” katanya.

Exit mobile version