Site icon TUHAU BAMBANGAN

Puluhan tentera Israel disyaki dijangkiti penyakit parasit

GAZA: Puluhan tentera Israel disyaki dijangkiti Leishmania atau penyakit parasit di sekitar Semenanjung Gaza.

Menurut laporan akhbar Maariv Israel, klinik dermatologi di hospital Israel sedang menjalankan ujian makmal untuk berpuluh-puluh anggota tentera.

Parasit Leishmania menjangkiti manusia melalui gigitan lalat pasir yang kecil.

Setiap gigitan menyebabkan berlaku keradangan kulit yang menyakitkan, selain tidak sembuh dan bertahan selama beberapa minggu.

Jika tidak dirawat, ia meninggalkan parut kekal pada kulit.

Sebelum ini, wabak penyakit gastrousus dan keracunan makanan dilaporkan menyerang dalam kalangan tentera Israel di selatan Palestin khususnya mereka yang ditempatkan di Semenanjung Gaza.

Yedioth Ahronoth melaporkan, sejak perang Israel terhadap Palestin di Gaza, banyak restoran dan individu yang menyumbangkan makanan kepada tentera Israel.

Bagaimanapun, menurut doktor, penyimpanan, pengangkutan dan penyediaan makanan yang lemah menyebabkan peningkatan penyakit gastrousus atau cirit-birit yang teruk dan suhu tinggi dalam kalangan tentera.

“Cirit-birit merebak dalam kalangan tentera Israel di selatan merentasi pelbagai kawasan tumpuan, dan kemudian merebak di kalangan tentera yang pergi bertempur di Gaza,” jelas Ketua Unit Penyakit Berjangkit di Hospital Universiti Assuta Ashdod, Dr Tal Brosh.

“Kami mendiagnosis jangkitan bakteria Shigella yang menyebabkan disentri, penyakit yang sangat berbahaya yang telah merebak di kalangan pejuang di Gaza,” katanya.

Sumber: AGENSI

Exit mobile version