KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah berpendirian tegas dan sama sekali tidak akan berkompromi dengan penyakit terbesar, iaitu rasuah dalam usaha menyelesaikan isu-isu pembangunan di negeri ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pihaknya sedar bahawa perkara itu mampu mencacatkan program pembangunan oleh kerajaan terutama apabila membabitkan instituasi penjawat awam negeri.
Justeru itu, katanya, untuk kes yang melibatkan Pengarah Jabatan Air negeri Sabah (JANS) sebelum ini menjadi pengajaran berguna kepada penjawat awam mahupun barisan kepimpinan negeri.
“Kerajaan negeri berpendirian tegas dalam memerangi rasuah termasuklah Jabatan Air, apa yang disebut oleh Ahli Yang Berhormat dari Senallang.
“Kita tidak berkompromi sama sekali tentang rasuah ini, rasuah telah berlaku dan juga sekarang dalam pertimbangan mahkamah dan ini menjadi satu pengajaran bukan saja kepada Jabatan Air tapi kepada semua penjawat awam termasuk kepimpinan kita di negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dari ADUN Senallang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang membangkitkan isu dan jaminan pihak kerajaan mengenai gejala rasuah melibatkan bekalan air di Sabah semasa dalam sesi perbahasan sempena sidang DUN Sabah Ke-16 pada Selasa.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan ADUN Senallang mengenai isu pembinaan stesen Jana Kuasa Bebas (IPP) Ranhill Sabah Energy (RSE) 3 di Kimanis, Hajiji berkata, langkah itu diambil sebagai salah satu mekanisme menangani bekalan elektrik di negeri ini.
“Ini diluluskan oleh Suruhanjaya Tenaga Elektrik Persekutuan, Ranhill untuk membina IPP. Kita faham disini apabila projek IPP dilaksanakan tentu sekali kerajaan akan menanggung subsidi kerana mereka akan dibayar lebih daripada yang dikenakan kepada pengguna.
“Ini juga satu masalah, tetaapi untuk mengatasi elektrik di Sabah ini kita perlu satu tenaga yang boleh menyelesaikan masalah elektrik. Ranhill telah diberi untuk membina 100 MegaWatt (MW) bersama-sama dengan Sabah Energy Corporation dan ini dijangka siap pada tahun 2026,” jelasnya.