KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah bakal mewujudkan lebih kurang 20,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2024 hingga 2035 bagi mengatasi masalah pengangguran di negeri ini.
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe berkata, peluang itu akan diwujudkan menerusi tarikan pelaburan asing dan domestik dalam sektor perindustrian di Sabah.
“Anggaran peluang pekerjaan yang akan diwujudkan ini adalah melibatkan lebih kurang 10 syarikat dalam pelbagai bidang pelaburan termasuklah industri keluli hijau, simen, pengurusan sisa, hab logistik, pemprosesan makanan laut dan lain-lain.
“Peluang ini dijangka akan diwujudkan dalam tempoh tahun 2024 hingga 2035 dengan mengambil kira tempoh pelaksanaan sesuatu pelaburan tersebut,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Selasa lalu.
Phoong berkata demikian ketika menjawab soalan dari ADUN Sulabayan, Datuk Jaujan Sambakong yang bertanya berapakah jumlah peluang pekerjaan yang disediakan hasil dari jutaan nilai pelaburan yang diumumkan datang ke Sabah.
Sementara itu, Phoong turut memaklumkan jumlah peluang pekerjaan dimaksudkan itu tidak termasuk dalam pelaburan yang sudah direalisasikan.
“Sebagai makluman, jumlah peluang ini adalah tidak termasuk pelaburan yang sudah direalisasikan, iaitu syarikat SKNexlis Sabah Malaysia Sdn Bhd dan Kumpulan Kibing yang mana masing-masing telah berjaya mewujudkan sejumlah 336 peluang pekerjaan bagi SKNexlis dan 1,649 peluang pekerjaan bagi syarikat Kibing kepada rakyat Sabah,” jelasnya.
Phoong menambah, kementeriannya akan sentiasa mempergiatkan usaha untuk menarik lebih banyak pelaburan asing dan domestik ke negeri ini agar lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan pada masa akan datang.