Site icon TUHAU BAMBANGAN

DUN SABAH: JKR SENTIASA PANTAU MASALAH JALAN RAYA ROSAK – SHAHELMEY

KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya Sabah sentiasa memantau masalah kerosakan jalan raya dari masa ke semasa dan sentiasa melakukan penyelanggaran melalui tiga kategori nilai kerja.

Menterinya, Datuk Shahelmey Yahya berkata, tiga nilai kerja itu ialah, Routine Maintenance, Peridoic Maintenance dan Emergency Maintenance yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

Katanya, pemantauan yang dilakukan termasuklah melakukan rondaan berkala dan pemeriksaan rutin oleh syarikat konsesi serta melalui aduan orang awam.

“Bagi prosedur Routine Maintenance yang dibuat oleh syarikat konsesi, jalan raya yang didapati rosak seperti merekah atau jalan berlubang, perlu diselenggara secepat mungkin (24 jam untuk Jalan Protokol dan 3 hari untuk Jalan Bukan Protokol).

“Manakala, penyelenggaraan secara Periodic maintenance dilaksanakan mengikut keperluan bagi mengelakkan kerosakkan yang lebih besar berpunca dari tindakan lalu lintas dan cuaca seperti penurapan semula, mengecat garis jalan, menggred dan menabur semula batu bahu jalan.

“Emergency Maintenance pula diperlukan untuk menyelesaikan masalah-masalah yang menimpa jalan yang terjadi di luar bidang rancangan (luar jangka) penyenggaraan seperti tanah tebing runtuh, pokok tumbang, kerosakan jalan/jambatan disebabkan oleh banjir dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian, ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat, Datuk Poon Ming Fung @ Frankie, yang bertanya adakah masalah kerosakan jalan raya dipantau oleh JKR sebelum kerosakan menjadi isu aduan daripada penduduk setempat dan apakah jadual pemantauan tersebut.

Sementara itu, Shahelmey berkata, dari segi jadual pemantaun, syarikat konsesi dan kontraktor penyelanggaraan di bawah seliaan JKR Sabah melaksanakan pemeriksaan rutin setiap minggu bagi setiap jalan di bawah senggaraan syarikat masing-masing.

Manakala, jalan protokol katanya, pemeriksaan rutin adalah sebanyak dua kali seminggu.

“Selain itu, Pejabat-pejabat JKR Bahagian dan Daerah juga akan melakukan pemantauan setiap bulan untuk memastikan pelaksanaan kerja penyelenggaraan mematuhi jadual, standard dan spesifikasi penyelenggaraan.

“Laporan ketidakpatuhan (Non Conformance Report, NCR) akan diberikan kepada syarikat konsesi / kontraktor penyelenggaraan sekiranya kerja penyelenggaraan didapati tidak mematuhi jadual, standard dan spesifikasi penyelenggaraan yang sepatutnya,” jelasnya.

Exit mobile version