SANDAKAN: Tindakan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Hajiji Noor yang mmebangkitkan isu cubaan rampasan kuasa seolah-olah seperti mereka membuka pekung di dada, kata Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir.
Suhaimi berkata, pihaknya mahu mengembalikan isu tersebut kepada Hajiji kerana beliau lebih arif untuk menjawabnya.
Katanya, semasa pemerintahan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU-UMNO di Sabah selepas Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16), Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah telah banyak melakukan penipuan dan tidak menunaikan janji yang sepatutnya.
“Kami boleh huraikan satu persatu jika beliau (Hajiji) mahukan. ‘Skim Perkara Muhyiddin’ selalu mengikuti Hajiji sehingga ke hari ini walaupun kononnya beliau menyokong Kerajaan Perpaduan pada ketika ini.
“Kemarahan UMNO sampai kemuncak apabila Hajiji tanpa bertanding dengan Barisan Nasional (BN) Sabah, telah membawa sokongan Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
“Hajiji tidak perlu berpura-pura dan cuba melupakan sejarah tersebut. UMNO tidak akan menarik sokongan terhadapnya sebagai Ketua Menteri jika beliau jujur dan ikhlas dalam persahabatan,” katanya.
Menurut Suhaimi, rakyat tidak akan percaya kepada kepimpinan yang bertukar parti selepas bertukar baju sahaja.
Jelasnya, perjuangan memerlukan pengorbanan dan kesetiaan, oleh itu rakyat Sabah diminta agar tidak lupa siapa kepimpinan Gagasan Rakyat hari ini.
“Mereka semua bermula dari UMNO. Selepas UMNO kalah, semua masuk BERSATU. Dan, selepas BERSATU kalah, mereka tubuh parti baru, iaitu Gagasan Rakyat. Cerita politik Sabah ini amat memalukan orang Sabah,” katanya.
Suhaimi berkata, sebagai contoh, mengenai perlantikan Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gum-Gum, beliau dan bekas Ahli Parlimen Libaran, Datuk Juslie Ajirol sebelum ini telah bertemu dengan Hajiji untuk mencadangkan agar Ruslan Udam dilantik memegang jawatan itu.
Katanya, cadangan itu pada dasarnya telah dipersetujui oleh Hajiji namun beliau akhirnya melantik orang lain bagi jawatan tersebut.
“Pada masa ini, banyak jawatan di peringkat kawasan DUN dan kampung turut ditukar. Mana-mana pemimpin yang mempunyai jawatan masa itu, akan ditamatkan perkhidmatannya sekiranya tidak menyertai Gagasan Rakyat.
“Ini jelas menunjukkan beliau tidak ikhlas dan mungkir janji dalam apa juga perlantikan sedangkan pada masa itu kami amat menyokong kepimpinan beliau sebagai Ketua Menteri,” jelasnya bagi mengulas ucapan dasarnya Datuk Seri Hajiji Noor pada Perhimpunan Agung Gagasan Rakyat yang menyalahkan UMNO dalam cubaan merampas kuasa Kerajaan Negeri.
Suhaimi turut mengingatkan Hajiji mengenai penglibatan Hajiji dalam empat cubaan rampasan kuasa semasa pemerintahan Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Warisan (Warisan) dahulu.
Dalam masa yang sama, Ketua Penerangan UMNO Sabah ini menyokong penuh kenyataan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menjelaskan situasi yang berlaku dalam UMNO Sabah semasa dalam kerajaan GRS BN.
Bung Moktar sebelum itu menjelaskan perkara pertama yang berlaku setelah beliau mewakili UMNO berada dalam kerajaan GRS, Ketua Menteri (Hajiji) adalah pemimpin yang tidak berpendirian dan sentiasa mungkir janji kepada kepimpinan UMNO Sabah.
Kejadian pertama itu apabila perubahan jawatan Bung Moktar dalam perjanjian bersama dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, tetapi semasa Bung Moktar angkat sumpah, Hajiji melakukan penipuan awal dengan mengumumkan Masidi Manjun bertindak sebagai Menteri Kerja Raya.
“Setelah penubuhan kerajaan GRS-BN, Hajiji menipu lagi dengan membolot hampir semua jawatan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dalam negeri Sabah yang mana jawatan-jawatan penting negeri Sabah, Hajiji telah melantik kroni dan keluarga dari Tuaran,” jelas Bung Moktar.
Bung Moktar turut menyifatkan Hajiji telah mungkin berjanji untuk bersama UMNO memajukan negeri Sabah dan beliau (Hajjii) mengutamakan kepentingan diri sendiri.
“UMNO memutuskan hubungan demi menjaga kepentingan parti daripada kepentingan diri sendiri,” tambah Bung Moktar.
Sumber: SNT