Site icon TUHAU BAMBANGAN

PBS, STAR SEPAKAT MULA BINCANG CARA RASMI, JALIN KERJASAMA

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) telah mencapai kata sepakat untuk memulakan perbincangan rasmi bagi mewujudkan persefahaman dan kerjasama antara kedua parti itu.

Menurut kenyataan bersama oleh Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki dan Setiausaha Agung STAR, Datuk Edward Linggu, kerjasama itu adalah berdasarkan kepada beberapa asas.

“Untuk menyahut seruan akar umbi yang ingin melihat kedua-dua parti menjalinkan kerjasama jitu dan mampan demi perpaduan rakyat berbilang kaum.

“Asas seterusnya adalah, sebagai kesinambungan kepada cadangan yang menjurus kepada usaha menyahut seruan akar umbi sebelum Pilihan Raya Negeri pada 2020 dan untuk memperkukuh lagi kekuatan dan sokongan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Tambah kenyataan itu, kata sepakat untuk memulakan perbincangan rasmi telah dicapai dalam pertemuan diantara pemimpin kedua-dua parti pada Rabu (15 Nov).Katanya lagi, kedua-dua parti telah memberi amanah kepada lima pemimpin untuk mewakili parti masing-masing dalam perbincangan itu.

“PBS akan diwakili oleh Setiausaha Agung, Datuk Julita Majungki, Ketua Penerangan, Datuk Joniston Bangkuai, Ketua Pergerakan Wanita, Maliana Ugau dan Ketua Pergerakan Pemuda, Christoper Mandut.

“Manakala Parti STAR pula diwakili oleh Naib Presiden/Pengarah Strategik, Dr Paul Porodong, Setiausaha Agung, Datuk Edward Linggu, Ketua Penerangan, Datuk Jalumin Bayogoh, Ketua Pergerakan Wanita, Datuk Flovia Ng dan Ketua Pergerakan Pemuda, Kong Soon Choi,” jelas kenyataan itu.

Mesyuarat rasmi pertama akan diadakan dalam masa terdekat.

Exit mobile version