Site icon TUHAU BAMBANGAN

KESTABILAN POLITIK PENTING, BANTU TUMPU PEMBANGUNAN NEGERI

KOTA KINABALU: Kestabilan politik di Sabah amat penting bagi memastikan kerajaan negeri dapat memberikan tumpuan sepenuhnya dalam usaha membangunkan negeri ini.

Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perubahan kerajaan termasuk pertukaran Ketua Menteri yang kerap telah memungkinkan dasar dan polisi kerajaan sebelumnya tidak dapat diteruskan.

“Proses membangunkan sesebuah negeri memerlukan suatu jangka masa yang munasabah selain komitmen serta iltizam bersungguh-sungguh kerajaan untuk merialisasikan matlamat menjadikan negeri lebih maju.

“Sabah memerlukan iltizam politik untuk membangun dengan kadar yang segera. Kuncinya ialah, kestabilan. Saya percaya, hanya dengan kestabilan, barulah Sabah dapat dibangunkan,” katanya yang mengulas teras perjuangan Gagasan Rakyat yang pertama, iaitu Stabil Politik.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar pada Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Isnin (13 Nov).

Manakala, teras kedua, iaitu Makmur Negeri, Hajiji berkata, untuk memakmurkan negeri akan berpaksi kepada kerangka pembangunan negeri yang disediakan melalui Hala Tuju SMJ, yang dilancarkan pada 29 Mac 2021 itu telah membawa Sabah ke landasan yang tepat untuk membangun.

Beliau pada masa sama menjelaskan beberapa petunjuk ekonomi memperlihatkan kewibawaan kepimpinan kerajaan negeri yang diterajui Gagasan Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah dan rakan parti komponen PH Plus. Ini sekali gus menunjukkan momentum yang amat positif terhadap pelaksanaan Hala Tuju SMJ.

Menurut Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah, peningkatan hasil kerajaan negeri dua tahun berturut-turut iaitu RM5.449 bilion pada 2021 dan RM6.96 bilion pada tahun 2022 telah mencatat sejarah sebagai kutipan hasil tertinggi sejak merdeka.

“Selain itu, Sabah berjaya mencatat rekod perdagangan tertinggi pada kadar RM118.1 bilion pada tahun lepas, peningkatan pelaburan kumulatif berjumlah lebih RM33 bilion dan pertumbuhan ekonomi positi membuktikan kerajaan pimpinan Gagasan Rakyat/GRS merupakan sebuah kerajaan yang berfungsi dan berkesan,” jelasnya.

Hajiji berkata, jaminan kesejahteraan terus menjadi fokus dalam usaha memenuhi aspirasi dan mandat rakyat.

Exit mobile version