Site icon TUHAU BAMBANGAN

PROGRAM TVET PENTING DALAM USAHA BANGUNKAN SEKTOR EKONOMI SABAH

KOTA KINABALU: Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memainkan peranan penting dalam usaha membangunkan modal insan yang diperlukan untuk pembangunan ekonomi negeri Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, TVET kini bukan sekadar melengkapi individu dengan kemahiran tetapi juga sinonim dengan pemerkasaan, peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi selain memupuk inovator, usahawan dan pekerja yang mendorong kepada kemajuan negeri itu.

“Program TVET amat relevan dalam usaha Sabah untuk terus membangunkan sektor ekonominya yang disokong Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ. Ia juga menyediakan graduan untuk menjadi tenaga kerja mahir dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

“Sabah yang mempunyai sumber asli, minyak dan gas, pertanian dan sektor pelaburan mahu memajukan sektor pembuatan selaras dengan usaha kerajaan yang menggariskan pelbagai inisiaitf bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dapat dipertingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Penyerahan Bantuan BIZRIDER Mobile Mechanic Programme dan Sijil Kolaborasi diantara Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA), Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Zon Sabah di Dewan Rafflesia, Politeknik Kota Kinabalu pada Khamis.

Sementara itu, Hajiji yang juga Pengerusi SEDIA menekankan, bagi memastikan Sabah terus berdaya saing seiring dengan negeri-negeri lain, kerajaan Sabah akan melabur dalam pengetahuan, kemahiran dan keupayaan rakyat untuk kejayaan dan kemakmuran masa hadapan.

“Sebab itu pada awal bulan ini, saya telah mengetuai misi perdagangan di luar negara iaitu ke China dan Hong Kong untuk mempromosikan peluang perniagaan dan pelaburan di Sabah kepada pelabur dari China dan Hong Kong.

“Kerajaan negeri juga telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Huawei Technologies Malaysia Sdn Bhd untuk mempercepatkan inisiatif transformasi digital negeri ini. Justeru, kita semua harus bersedia kerana sudah pasti semua ini akan membawa lebih banyak pelabur untuk datang, yang bermakna semakin banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak di negeri ini,” jelasnya.

Menyentuh Program Koridor Pembangunan Sabah (SDC)-Sabah Talent Enhancement Programme (SSTEP) dan Program #BIZRIDER300, Hajiji berkata, seramai 3,116
peserta telah dilatih melalui 280 program yang dijalankan melibatkan latihan ‘reskilling’
dan ‘upskilling’, padanan pekerjaan serta peluang keusahawanan.

Exit mobile version