PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang meneliti cadangan menaikkan harga minyak masak peket bersubsidi.
Timbalan Menteri KPDN, Fauziah Salleh berkata, kajian sama akan ada kenaikan harga minyak peket bersubsidi.
“Ia betul kerana harga minyak peket subsidi RM2.50, manakala harga minyak masak terpakai RM3.80 sekilogram.
“Kemungkinan ketirisan berlaku amat tinggi, maka kita sedang kaji berkenaan dengan harga. Kalau kita naikkan harga, (ia) akan kurangkan subsidi,” katanya ketika menggulung perbahasan peringkat Jawatankuasa Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2024 bagi KPDN di Dewan Rakyat semalam.
Sementara itu, bagi perkembangan lain, Fauziah berkata, 43 pengusaha sudah memohon Kad Diskaun Khas Menu Rahmah bagi membeli barang keperluan pada harga sehingga 40 peratus dengan rakan strategik.
Setakat ini, katanya, terdapat 2,894 pengusaha Menu Rahmah di seluruh negara dan operasi mereka telah bertahan sejak pengenalannya dalam tempoh setahun ini.
“Impak kajian Menu Rahmah sudah dijalankan sama ada ia mampan dan setakat ini, ketika kita dalam keadaan menangani kos sara hidup, ia program yang dinantikan untuk membantu rakyat,” jelasnya.
Manakala, mengenai kempen memboikot jenama francais antarabangsa yang dikaitkan dengan sokongan terhadap rejim Zionis Israel, Fuziah berkata, kebanyakan syarikat itu di bawah pemilikan syarikat tempatan dan terpulang kepada pengguna untuk membuat pilihan.
“Sebagai kerajaan, pendirian kita adalah menyokong Palestin, tapi sama ada tafsiran boikot atau tak, itu terserah kepada individu.
“Terserah (kepada pengguna) sama ada lebih penting memboikot atau menyelamatkan (nasib pekerja francais). Setakat ini, kementerian tidak membuat apa-apa pendirian.” katanya.
Sumber: FMT