Site icon TUHAU BAMBANGAN

BANGKIT BELA NASIB RAKYAT, HAK SABAH – HAJIJI

KOTA KINABALU: Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Hajiji Noor mengajak semua ahli parti itu untuk terus bangkit dalam perjuangan membela nasib rakyat di negeri ini.

Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengulangi komitmen untuk terus bangkit dalam perjuangan mendapatkan hak-hak Sabah seperti tertulis dalam Perlembagaan Malaysia.

Pada masa sama, ahli parti diminta bangkit untuk memperkukuhkan jentera dan mantapkan perpaduan, demi memastikan Gagasan Rakyat terus padu dan jitu.

“Bangkit menentang segala tohmahan, hasutan dan fitnah, bangkit menegakkan kebenaran dan keadilan, bangkit bagi memperjuangkan hak-hak kita dan bangkit bagi membela agama, tanah tumpah darah dan bangsa tercinta,” katanya dalam Ucapan Dasar pada Persidangan Agung Tahunan pertama Gagasan Rakyat di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Isnin.

Dalam ucapannya yang bertemakan ‘Merialisasikan Aspirasi Rakyat’ itu, Hajiji berkata, Gagasan Rakyat sebagai parti tempatan menjunjung semangat Persekutuan Malaysia berteraskan citra kebangsaan.

“Kita akan memainkan peranan yang signifikan dalam politik kebangsaan bagi mengangkat agenda pembangunan negeri dan negara.

“Kita mengangkat perjuangan negeri sepertimana yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan mana-mana hak Sabah yang berkaitan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, Gagasan Rakyat meletakkan tiga teras perjuangan – Stabil Politik, Makmur Negeri dan Jaminan Kesejahteraan -yang akronimnya juga SMJ (Sabah Maju Jaya).

Menurutnya, kehadiran Gagasan Rakyat dalam arena politik amat signifikan kerana dapat memperkukuhkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama parti komponen lain.

Exit mobile version