Site icon TUHAU BAMBANGAN

PEMBUAT ROTI CANAI WANITA WARGA ASING DISAMUN, DIROGOL DAN DIBUNUH DENGAN KEJAM

LAHAD DATU: Seorang wanita warga asing berusia 36 tahun ditemui tidak bernyawa dan berada dalam keadaan separuh bogel di Kampung Pisang, Lahad Datu semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dr. Rohan Shah Ahmad berkata, mayat ditemui dengan kesan hentakan berupa objek tumpul di bahagian kepala dan kesan kelar oleh senjata tajam di bahagian leher mangsa.

Katanya, mangsa yang merupakan ibu kepada lima orang anak itu ditemui di sebuah kawasan semak dalam kebun pisang.

“Mangsa dipercayai telah keluar pada jam 6.15 pagi kerana bekerja sebagai pembuat roti canai di sebuah restoran telah melalui laluan pejalan kaki di sebuah kawasan semak kebun pisang berkenaan sebagai laluan pergi dan balik kerja.

“Menurut saksi, setelah tidak sampai ke tempat kerja, pihak majikan telah menghubungi keluarga mangsa untuk mengetahui keberadaannya, tetapi ahli keluarga mangsa memaklumkan telah keluar bekerja.

“Sangsi di atas makluman yang disampaikan itu, ahli keluarga kemudian berusaha mencari dan menemui mangsa dalam keadaan tidak bernyawa di kawasan semak berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media di sini semalam.

Rohan berkata, sepasukan pegawai polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Lahad Datu telah ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan dan mendapati mangsa dalam keadaan separuh bogel.

“Sebuah telefon bimbit jenama Vivo milik mangsa juga didapati telah hilang dalam kejadian ini dan tiada wang tunai dijumpai dalam dompet mangsa yang turut dijumpai di tempat kejadian.

“Pihak polis juga tidak menolak kemungkinan mangsa turut dirogol berdasarkan kesan air mani yang terdapat pada bahagian kemaluan mangsa,” jelasnya.

Mayat mangsa kemudian di bawa ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu bagi tujuan bedah siasat dan pihak polis sedang berusaha untuk mengesan suspek.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika disabit kesalahan, boleh dihukum mati.

Sementara itu, Rohan turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran.

Exit mobile version