Site icon TUHAU BAMBANGAN

PRN SABAH: UPKO LIBARAN SAMBUT BAIK SARANAN EWON UNTUK MENANG BANYAK KERUSI DUN

SANDAKAN: Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Libaran menyambut baik saranan Presiden parti itu, iaitu Datuk Ewon Benedict untuk memenangkan lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menurut Ketua Bahagian UPKO Libaran, Dr Peter Jr Naintin, kerja-kerja pemantapan parti di akar umbi sedang dipertingkatkan di seluruh daerah di Sabah. Selain itu, program-program yang dirancang oleh Biro Penerangan dan Penyelidikan UPKO akan dijalankan di setiap bahagian mengikut perancangan dan kesesuaian.

“Jelajah Biro Penerangan telah berjaya dianjurkan di kawasan Bengkoka dan Kuamut. Manakala, jelajah awal ke akar umbi sudah dimulakan di kawasan Pantai Barat Sabah, terutamanya di kawasan Pitas, Kota Marudu, Limbahau, Membakut, Kimanis dan Labuan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Sementara itu, Peter berkata, sejak awal penubuhan Parti UPKO, ia telah membuka banyak ruang dan peluang kepada seluruh rakyat Sabah yang ingin berjuang di dalam arena politik, khususnya anak muda tempatan untuk bersama-sama mempertahankan dan memperjuangkan Perlembagaan Malaysia 1963 (MA63).

“Saya yakin bahawa satu hari nanti, UPKO akan mempunyai wakil rakyat di setiap daerah yang akan fokus, berani dan ikhlas dalam menerajui perjuangan rakyat di wilayah Sabah. Semua ini akan berlaku apabila generasi muda-mudi kita mula sedar bahawa merekalah sebenarnya yang boleh menentukan masa depan Sabah yang lebih baik.

“Dengan kerjasama yang lebih progresif di antara pemimpin muda dan veteran kita yang berpengalaman, saya percaya kepimpinan UPKO akan senantiasa subur, berwibawa dan mampu membawa perkhidmatan nilai tambah kepada rakyat Sabah,” tegasnya.

Exit mobile version