KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengambil maklum akan sebuah klip video yang dimuat naik di media sosial baru-baru ini berkaitan pencemaran tangki air dengan menemui ulat dalam tangki air di salah satu kolej kediaman pelajar di kampus itu.
UMS menerusi satu kenyataan media pada Jumaat (10 Nov) berkata, susulan daripada video klip tersebut, pihak pengurusan UMS melalui Jabatan Pembangunan dan Penyelanggaraan (JPP) telah menjalankan siasatan terhadap kesahihan dakwaan seperti yang dinyatakan dalam video tersebut.
“Pihak JPP mengesahkan bahawa kejadian tersebut berlaku terhadap salah satu tangki air di Kolej Kediaman Tun Pengiran Ahmad Raffae (KKTPAR) UMS.
“Walau bagaimanapun, tangki yang terjejas adalah tangki dari sumber air melalui sistem telaga tiub (tubewell) dan tidak menjejaskan sumber air yang disalurkan dari Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang menjadi sumber utama kegunaan harian para pelajar,” jelas kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu juga, JPP telah mengarahkan kontraktor penyelenggaraan untuk mengosongkan tangki yang terlibat.
“Pihak JPP juga telah mengarahkan kontraktor penyelenggaraan agar sentiasa memantau setiap fasiliti bangunan di UMS bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan dan kesihatan khususnya kepada warga pelajar UMS,” katanya.
Kenyataan tersebut turut berkata, bahawa pihak pengurusan UMS akan terus memantau perkembangan para pelajar di KKTPAR bagi memastikan kesihatan para pelajar tidak terjejas dan tidak mengganggu pembelajaran dan kehidupan seharian pelajar sepanjang berada di kolej kediaman.
Terdahulu, klip video berdurasi 21 saat tular di media sosial yang menunjukkan ulat telah memenuhi tangki penyimpanan air yang didakwa berlaku di kampus induk UMS.