Site icon TUHAU BAMBANGAN

PROGRAM TUBE NEGERI SABAH REKOD NILAI JUALAN LEBIH RM20 JUTA

KOTA KINABALU: Alumni Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) negeri Sabah telah berjaya merekodkan nilai jualan sebanyak RM20.65 juta sejak tahun 2014 sehingga 2022.

Menurut Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedict, sejak pelaskasanaannya dari tahun 2014, Program TUBE juga telah melahirkan lebih 7,000 usahawan belia bumiputera seluruh negara dan seterusnya berjaya mewujudkan hampir 14,000 peluang pekerjaan.

“Sasaran program ini adalah belia bumiputera yang berumur antara 18 hingga 30 tahun dan mempunyai minat yang mendalam untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawanan, khususnya belia yang mempunyai sijil kemahiran asas daripada institusi latihan ata pusat kemahiran tempatan.

“Saya berharap melalui program ini dapat menggalakkan lebih ramai golongan belia menceburi bidang  keusahawanan, memiliki perniagaan sendiri seterusnya mencipta peluang pekerjaan untuk golongan belia yang lain, terutamanya belia yang tercicir dalam pelajaran atau tidak mempunyai sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika menyempurnakan perasmian Sesi Temu Mesra bersama Alumni TUBE 2023 Sabah di Hotel Shangri-La Tanjung Aru, Kota Kinabalu pada Sabtu.

Sementara itu, Ewon berkata, sejak tahun lepas juga, Syarikat Perusahan Mikro Kecil Sederhana (PMKS) berjaya menyumbang sektor guna tenaga dengan peluang pekerjaan sebanyak 48 peratus.

“Sebanyak 48 peratus rakyat Malaysia bekerja dengan PMKS dan itu antara lainnya juga disumbangkan oleh PMKS di Sabah, sebab itulah kita adakan pembiayaan termasuk yang kita lancarkan hari ini agar perusahan-perusahan di kalangan PMKS ini akan terus berkembang dan terus memberikan pekerjaan kepada rakyat di negara kita,” jelasnya.

Exit mobile version