Site icon TUHAU BAMBANGAN

BERSATU SUDAH KUMPUL BUKTI BERHUBUNG TAWARAN KEPADA MP LABUAN, KUALA KANGSAR SOKONG ANWAR

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa sudah mengumpul semua bukti berhubung tawaran yang diberi kepada Ahli Parlimen parti itu untuk menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Laporan akan dibuat dan akan dikemukakan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya mendapati ada Ahli Parlimen mereka ‘disogok’ dengan tawaran faedah tertentu seperti dalam bentuk kewangan atau peruntukan.

“Ini adalah satu perkara yang melanggar peruntukan seperti Akta SPRM, iaitu sama ada dia menerima atau memberi. Kita akan buat laporan kepada pihak polis dalam tempoh sehari dua.

“Semua maklumat telah dikumpulkan, contohnya dalam kes Ahli Parlimen Gua Musang, atau Ahli Parlimen Kuala Kangsar. Dalam kes Ahli Parlimen Gua Musang, dia beritahu ketika Mesyuarat Bersatu Kelantan, (dia) dapat tawaran (tertentu) tetapi menolak kesemuanya.

“Namun tiga hari selepas itu, dia umumkan keputusan sokong sana (kerajaan). Justeru, kita suspek ada perkara yang sedang berlaku, yang telah langgar peruntukan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu di Ibu Pejabat Perikatan Nasional di sini, semalam.

Pada masa sama, Muhyiddin berkata, Bersatu akan mengemukakan laporan berhubung perkara sama terhadap SPRM yang didakwanya mungkin terbabit sama.

“Kita buat laporan kepada SPRM dan terhadap SPRM. Mungkin SPRM juga terbabit, mungkin ada (antara kes ini) babitkan pegawai tinggi SPRM,” katanya.

Exit mobile version