Site icon TUHAU BAMBANGAN

HENTIKAN TINDAKAN AHLI PARLIMEN ALIH SOKONGAN TERHADAP PIMPINAN LAIN – SHAFIE

KOTA KINABALU: Tindakan Ahli-Ahli Parlimen yang mengalihkan sokongan terhadap kepimpinan lain seharusnya tidak digalakkan dan perlu segera dihentikan.

Presiden parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, tindakan tersebut merupakan satu budaya yang kurang sihat dan menjadi peringatan kepada pengundi kerana ia menjadikan keadaan politik negara tidak stabil sehingga kini.

“Apa yang penting kepada kita adalah mandat rakyat yang ada, bukan kepentigan rakyat, itu alasan saja.

“Saya yakin apa yang penting kepada kita setiap kawasan-kawasan Parlimen akan ada peruntukan yang disalurkan, bukan bererti setiap kawasan Parlimen akan ketinggalan dan akan tidak diberikan peruntukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan tiga Ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Sementara, Mohd Shafie turut menegaskan Akta Anti Lompat Parti yang sudah diluluskan sebelum ini perlu diteliti semula.

“Jadi saya harap, undang-undang sudah ada, jangan cemarkan undang-undang. Ada masa nanti, saya rasa ini adalah masa kita untuk melihat dan memperhalusi undang-undang ini.

“Kita kena pastikan dari segi sistem perundangan yang ada perlu disemak semula dan ditambah baik bagi menghindarkan rakyat yang memberi mandat teraniaya,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat bersama Ketua Wira Warisan Bahagian dan Exco Pusat di Kota Kinabalu pada Rabu (8 Nov).

Exit mobile version