KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) Halal Hab akan menyiasat isu terhadap peralatan bakeri yang di dakwa mengandungi DNA babi.
Menteri Bertangunggjawab terhadap Hal Ehwal Islam Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pihaknya turut mengambil maklum serta meneliti isu yang tular di media sosial mengenai dakwaan tersebut.
Jelasnya, pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara tersebut daripada MUIS Halal Hab.
“Seperti biasa, jika berlaku perkara ini kita akan ambil tindakan sepatutnya selaras dengan SOP kita termasuklah kita memberhentikan operasi premis berkenaan dan sementara itu kita akan memberi kesedaran berterusan kepada masyarakat tentang perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Bimp-EAGA Cyber Security Summit 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Selasa (7 Nov).
Arifin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah berkata, perkara sama pernah berlaku pada tahun lepas di mana perkara tersebut sudah diambil tindakan dan demikian dengan isu terbaru yang akan diterima oleh pihak mereka.
“Setelah kita benar-benar mengenal pasti sudah tidak berlaku lagi baru kita akan beri peluang mereka untuk beroperasi dengan logo kita dan mereka akan terus kita pantau,” tegasnya.
Terdahulu, tular di media sosial satu surat permohonan wajib sertu halal di salah sebuah premis bakeri yang terletak di pusat beli belah sekitar Kota Kinabalu kerana di dakwa peralatan bakeri digunakan, iaitu berus mengandungi DNA babi.